PKP: 40 syarikat produk dibenarkan beroperasi

KOTA KINABALU, 27 MAC – Kementerian Perdagangan dan Perindustrian (MTI) Sabah berjaya membantu 40 syarikat di negeri ini mendapatkan kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk dibenarkan beroperasi sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menterinya Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata syarikat berkenaan terdiri daripada syarikat yang menghasilkan barangan penting untuk keperluan harian, terutama makanan dan minuman serta produk berkaitan dengan sokongan perubatan.

“Usaha ini adalah hasil penubuhan pasukan petugas dianggotai pegawai kanan MTI dan wakil kesatuan industri yang bermesyuarat setiap hari bagi membincangkan permasalahan yang dihadapi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Madius berkata MTI sentiasa bersedia memberi bimbingan dan nasihat kepada mana-mana industri yang berhadapan sebarang masalah sepanjang penguatkuasaan PKP.

Beliau turut memaklumkan syarikat ke-40 yang diberi kelulusan beroperasi semasa PKP semalam iaitu Sabah Oxygen Sdn Bhd merupakan satu-satunya syarikat penting di negeri ini yang membekalkan gas oksigen untuk tujuan perubatan di semua hospital di negeri ini. – Bernama