PKP: Anggota polis diberi kelonggaran masuk Sabah

KOTA KINABALU, 22 JAN – Kerajaan negeri Sabah bersetuju memberi kelonggaran kepada pegawai dan anggota polis untuk masuk ke Sabah semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun yang juga jurucakap rasmi kerajaan negeri bagi COVID-19 berkata antara syarat perlu dipatuhi ialah pegawai dan anggota yang bertugas di Sabah hendaklah mendapatkan cap Seksyen 66(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 semasa ketibaan.

“Kemasukan ke Sabah hendaklah menggunakan Dokumen Perjalanan Terhad (DPT) atau Pasport Antarabangsa Malaysia (PMA) untuk mendapatkan cap seksyen itu dan mengemukakan dokumen sokongan seperti surat pertukaran atau surat penempatan daripada jabatan untuk berkhidmat di Sabah.

“Bagi tanggungan pegawai dan anggota polis yang bertugas di Sabah, hendaklah menunjukkan bukti hubungan dan mendapatkan cap Seksyen 66(2) Akta Imigresen 1959/63 atau memohon Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang segera,” katanya. – Bernama