PKP bantu kenal pasti gelandangan

KUCHING, 6 APRIL – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Sarawak dilihat ada rahmat di sebaliknya dari segi pengendalian isu gelandangan di negeri ini.

Menteri Kebajkan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah hari ini berkata, jumlah gelandangan yang dikesan setakat semalam 67 orang berbanding 120 orang pada Januari tahun ini.

“Pelaksanaan PKP telah membantu kami mengenal pasti antara gelandangan yang sebenar daripada mereka yang ‘tiada tempat tinggal secara bermusim’.

“Kemungkinan individu yang tiada tempat tinggal secara bermusim ini menyedari akan perintah berkenaan dan bertindak bersembunyi daripada tempat awam (semasa PKP),” katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata, kementeriannya menerusi rakan daripada agensi strategiknya bersama polis turut meningkatkan usaha mengesani gelandangan  berkenaan sejak 24 Mac, tetapi ini sekadar langkah jangka pendek bagi mengatasi masalah itu di negeri ini. – Bernama