PKP di Sibu selama 14 hari

KUCHING, 14 JAN – Kerajaan negeri Sarawak memutuskan untuk melaksana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bahagian Sibu untuk tempoh 14 hari bermula Sabtu ini sehingga 29 Januari.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan keputusan itu dibuat susulan peningkatan kes positif COVID-19 di kawasan berkenaan sejak beberapa hari lepas.

Menurut kenyataan itu, pelaksanaan PKP tersebut meliputi daerah Sibu, Kanowit dan Selangau.

“Prosedur operasi standard (SOP) berhubung dengan PKP ini akan dimaklumkan kepada orang awam esok, manakala PKP Bersyarat (PKPB) untuk bahagian Sarikei masih dikekalkan,” menurut kenyataan tersebut.

Sementara itu, JPBN memaklumkan semua warganegara Malaysia serta bukan warganegara yang ingin masuk ke Sarawak dari Semenanjung, Sabah dan Labuan dikehendaki membuat ujian saringan RT-PCR tiga hari sebelum mereka memasuki negeri ini.

Hari ini, Sarawak terus mencatat angka tiga digit bagi kes baharu positif COVID-19 untuk empat hari  berturut-turut apabila 180 kes dilapor hari ini, iaitu jumlah tertinggi kes harian yang pernah direkodkan setakat ini. – Bernama

Petugas Jabatan Kesihatan Bahagian Sibu sedang membuat ujian saringan COVID-19 ke atas salah seorang warga Sibu yang hadir ke pusat ujian saringan COVID-19 pandu lalu di bangunan Pustaka Negeri Sarawak Jalan Tun Tuanku Bujang Sungai Merah, yang mula beroperasi pada 13 Januari. – Bernama