PKP dilanjutkan sehingga 28 April – Muhyiddin

PUTRAJAYA, 10 APRIL – Kerajaan Malaysia memutuskan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan bagi tempoh dua minggu lagi iaitu 15 hingga 28 April, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketika mengumumkan perkara itu, beliau berkata keputusan itu dibuat bagi memberi ruang kepada petugas kesihatan memerangi wabak COVID-19, selain mengelak penularan semula virus itu

“Tindakan ini selaras dengan pandangan WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) yang menyarankan negara-negara tidak menamatkan perintah kawalan pergerakan terlalu awal dan sepertimana berlaku di beberapa negara yang penularan wabak ini meningkat semula apabila perintah kawalan pergerakan ditamatkan,” katanya dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung menerusi stesen-stesen televisyen, hari ini.

Pelaksanaan PKP berkuat kuasa pada 18 hingga 31 Mac lalu bertujuan memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19 di negara ini, sebelum ia dilanjutkan pada fasa kedua bermula 1 hingga 14 April.

Perdana Menteri menjelaskan negara tidak boleh mengambil mudah situasi yang sedang berlaku, meskipun berdasarkan situasi terkini, pelaksanaan PKP telah membantu para petugas kesihatan mengawal penularan COVID-19 ke satu tahap yang agak stabil.

Malah Muhyiddin berkata, usaha-usaha mencegah wabak itu mesti diperhebat lagi bagi memutuskan rantaian penularan jangkitan termasuk memberi tumpuan khusus kepada kumpulan-kumpulan sasar yang dikenal pasti menjadi punca penularan wabak tersebut.

Mengulas lanjut, beliau berkata menurut unjuran dibuat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), PKP yang dilaksanakan dalam tempoh hampir sebulan lalu sedikit sebanyak mengurangkan kebolehjangkitan dan penularan COVID-19.

Katanya, dengan usaha yang telah dibuat, kes-kes positif COVID-19 adalah terkawal pada kadar 7 peratus, iaitu di bawah penanda aras 10 peratus yang ditetapkan WHO.

Tambahnya, kadar kematian akibat wabak ini juga adalah rendah, iaitu 1.6 peratus berbanding 5.8 peratus kadar kematian di peringkat dunia, selain 43 peratus atau 1,830 pesakit COVID-19 di negara ini telah pulih dan keluar dari hospital. –Bernama

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menggunakan penutup hidung dan mulut selepas menyampaikan perutusan khas di Bangunan Perdana Putra, kelmarin. – Bernama