Monday, March 24, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    PKP langkah terbaik tangani COVID-19

    KUALA LUMPUR, 24 MAC – Pemain tengah import Melaka, Romel Morales percaya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan Malaysia pada masa ini adalah kaedah terbaik untuk menangani penularan wabak COVID-19.

    Pemain berusia 22 tahun itu berkata, walaupun merindui keluarganya di Colombia, beliau harus patuh kepada garis panduan dikeluarkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang tidak membenarkan mana-mana pemain asing dalam Liga Malaysia (Liga-M) keluar dari negara ini semasa penguatkuasaan PKP bermula 18 Mac hingga 31 Mac ini.

    “Apa yang dikenakan kerajaan Malaysia pada masa ini adalah demi kepentingan semua pihak dengan tidak membenarkan mereka keluar dan kekal berada di rumah ketika saat yang sukar ini.

    “Dalam hal ini, saya perlu menerima hakikat untuk berjauhan dengan keluarga walaupun sukar bagi saya kerana tidak dapat berkumpul bersama mereka pada waktu ini. Pada masa ini, saya tinggal di rumah dengan rakan-rakan di Melaka dan berharap semuanya akan kembali normal secepat mungkin,” katanya dipetik sebagai berkata dalam kenyataan dikeluarkan MFL hari ini.

    Sementara itu, Morales percaya keputusan oleh MFL untuk mengenakan hukuman pemotongan tiga mata adalah sebagai pengajaran untuk pasukan supaya sentiasa menjaga hal ehwal pemain mereka.

    Baru-baru ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memutuskan pemotongan tiga mata dikenakan ke atas skuad Melaka berikutan pasukan itu gagal membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut jadual yang ditetapkan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda