PKP tambah pendapatan suri rumah

KANGAR – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan bagi mengekang penularan pandemik COVID-19 dan kedatangan bulan Ramadan memberi hikmah kepada seorang suri rumah apabila jualan dan tempahan menu acar rebung madunya meningkat dua kali ganda berbanding sebelum PKP dilaksanakan.

Sawari Bustami, 40, daripada Taman Muhibbah, Jejawi, yang sebelum ini hanya menghasilkan 50 hingga 100 bekas sehari, kini secara purata perlu menghasilkan 300 bekas sehari untuk dipasarkan ke Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Singapura dengan jenama ‘Acar Perlis’.

Beliau menjualnya pada harga RM5 bagi bekas seberat 150 gram dan RM45 bagi bekas satu kilogram.

“Sebelum ini saya hanya menjual secara kecil-kecilan dengan meletakkan acar rebung di kedai runcit di sekitar kampung, namun disebabkan PKP saya mula iklankan di laman sosial Facebook dan kini menerima lebih dua kali ganda tempahan (sehari),” katanya kepada media.

Mula berniaga acar rebung sejak tiga tahun lepas, Sawari berkata keunikan acar rebungnya adalah ia tahan lama, rapuh, lebih manis dan beraroma dan menurutnya ia perlu dimasak sehingga empat jam untuk mendapatkan hasil yang enak.

Berikutan arahan PKP dan kedatangan bulan Ramadan memberi hikmah kepada Sawari Bustami apabila jualan dan tempahan menu acar rebung madunya meningkat dua kali ganda. – Bernama
Ayam pasu merupakan salah satu juadah yang paling digemari orang ramai ketika bulan Ramadan. – Gambar hiasan

Di Bachok, kreativiti menghasilkan kek yang diberi nama ‘Tornado’ membawa tuah kepada Nurulhana Wahdi Zainuddin, 36, apabila ia tular di laman sosial dan mendapat sambutan menggalakkan terutama pada Ramadan ini.

Ibu kepada tujuh anak yang berasal daripada Kampung Kemudi di sini, berkata Ramadan kali ini amat bermakna selepas kek yang dihasilkan itu tular dan amat popular di Kelantan dan Terengganu.

Beliau kini menerima tempahan kira-kira 900 biji kek Tornado sehari yang dihasilkan di empat kedainya di Kampung Telok di sini, Kubang Kerian dan Melor di Kota Bharu dan Kampung Raja di Terengganu dengan bantuan suami, Mohd Nasir Ali, 43, dan tujuh pekerja.

“Kedai saya menawarkan kek pada harga RM9.90 untuk 300 gram dan saya berusaha mengekalkan angka tersebut sebagai simbolik murah dan mampu beli,” katanya kepada media.

Selain kek Tornado, kedainya menawarkan Tornado Chocolate White, Mamamios Heaven dan Havoc Bubu yang turut popular.

Di Pasir Mas, langkah pemilik kedai makanan di Kampung Parit Air di Rantau Panjang di sini mencipta kelainan dengan memperkenalkan ayam panggang ‘Ayam Pasu COVID’ bersempena wabak COVID-19 nyata mendapat sambutan. Lebih unik, ayam itu dipanggang menggunakan pasu bunga biasa, berlainan kelaziman menggunakan tempayan.

“Kakak tak buka kedai disebabkan PKP dan ketika bulan puasa ini tercipta idea memperkenalkan ayam pasu COVID dan ternyata ia mendapat sambutan,” kata pemiliknya Salma Mohamad, 59.

Sewaktu ditemui media, wanita itu yang dibantu seorang pekerja sedang sibuk memanggang lebih 100 ekor ayam menggunakan resipi rempah tersendiri dan hampir kesemua ayam panggang itu telah ditempah pembeli.

Salma yang pertama kali menjual ayam panggang berkenaan tidak menyangka cubaannya itu mendapat sambutan baik daripada pembeli.

Seorang pembeli Nik Zaidi Nik Wan, 34, berkata selain harganya yang murah, ayam panggang itu juga lembut isinya dan enak dicicah dengan sambal hijau yang disertakan. – Bernama