PKP tujuh negeri di M’sia dilanjutkan

KUALA LUMPUR, 21 JAN – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di tujuh negeri yang sebelum ini dijadualkan tamat pada  Selasa depan dilanjutkan hingga 4 Februari ini.

Negeri-negeri berkenaan ialah Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor, Sabah, Kelantan serta Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu dibuat berdasarkan penilaian risiko dan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selepas kesemua negeri berkenaan masih menunjukkan trend peningkatan kes positif harian COVID-19.

Susulan pelanjutan tempoh berkenaan, tarikh tamat kesemua negeri yang dikenakan PKP kini adalah sama, kata Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan pada sidang media mengenai perkembangan PKP di sini, hari ini.

Beliau berkata sehingga 20 Januari, Selangor mencatat kes kumulatif COVID-19 sebanyak 50,636 kes, Sabah (45,008 kes), Kuala Lumpur (19,411 kes), Johor (14,539 kes) dan Pulau Pinang (6,540 kes).

Sementara kes kumulatif di Kelantan sebanyak 2,387 kes, Melaka (2,370 kes), Labuan (1,919 kes) dan Putrajaya (637 kes). – Bernama