PKP tutup salon, Bazar Ramadan

PUTRAJAYA, 13 APRIL – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memutuskan kedai gunting rambut, salon kecantikan dan kedai cermin mata di seluruh negara tidak dibenarkan beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selain itu, Perdana Menteri turut memutuskan semua bentuk bazar Ramadan juga tidak dibenarkan beroperasi di seluruh negara sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.

Keputusan itu dimaklumkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media hariannya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-menteri Mengenai PKP di sini, hari ini.

“Kerajaan telah mendengar pandangan rakyat, kerajaan juga mendapat nasihat daripada pakar-pakar tertentu dan badan bukan kerajaan mengenai perkara seperti ini,” katanya.

Dengan keputusan itu, katanya, diharap akan menjawab segala persoalan dan keresahan dalam kalangan rakyat berkaitan isu berkenaan.

Seorang lelaki melayari internet menerusi telefon pintarnya di hadapan kedai gunting rambut yang ditutup semasa tinjauan di Kampung Derhaka pada 13 April. – Bernama

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada Jumaat lepas membenarkan beberapa sektor ekonomi tambahan termasuk kedai gunting rambut dan kedai cermin mata beroperasi secara berfasa dengan garis panduan penjagaan kesihatan dan kawalan pergerakan yang ketat pada pelaksanaan PKP fasa tiga.

Mengenai rayuan para pelajar di institut pengajian tinggi awam dan swasta yang ingin pulang ke kampung, Ismail Sabri berkata kerajaan telah memutuskan para pelajar untuk terus kekal di universiti masing-masing.

“Insya-Allah, kebajikan, makan dan minum para pelajar akan ditanggung kerajaan,” katanya.

Jelasnya semua keputusan itu adalah bagi memastikan usaha untuk memutuskan rantaian dan membendung jangkitan COVID-19 berjaya.

Beliau berkata jika berlaku pergerakan besar-besaran tentu sukar bagi pihak polis melakukan pemantauan dan kemungkinan akan terjadinya kluster baharu COVID-19.

“Saya harap rakyat dan para pelajar semua faham semua tindakan ini adalah kerana untuk menjaga kepentingan mereka, keluarga dan masyarakat apabila mereka pulang ke kampung,” katanya. – Bernama