PKP: UCSF ambil langkah penjimatan sementara

KOTA KINABALU, 25 JUN – University College Sabah Foundation (UCSF) telah mengambil keputusan untuk mengambil langkah penjimatan sementara bagi memastikan dananya yang terhad kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mampu bertahan sehingga pengambilan pelajar pada September depan.

Naib Canselornya Dr Mohamed Haleem Mohamed Razi berkata mesyuarat pengurusan institut pengajian tinggi itu pada 15 Jun lepas telah menetapkan untuk mengambil langkah penjimatan itu yang akan memberi kesan pengurangan kepada gaji kakitangan UCSF.

“Berdasarkan dari dana yang terhad, bermula dari bulan ini (Jun) hingga September depan, UCSF tidak mempunyai pilihan selain melaksanakan skim gaji sementara dengan membayar gaji setimpal dengan hari bekerja.

“Seiring dengan skim ini, syarikat ingin mengumumkan bahawa semua staf bersetuju menerima 50 peratus daripada gaji kasar bagi tempoh empat bulan (bermula bulan ini),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau juga berkata, dalam tempoh pelaksanaan skim itu, kakitangan UCSF bebas untuk melakukan kerja di tempat lain di luar jadual waktu kerja di UCSF.

Mohamed Haleem turut memberitahu UCSF juga perlu mengurangkan sebahagian daripada aktivitinya sebagai antara langkah menjimatkan kos operasi semasa. – Bernama