PKPB Daerah Kuching dilanjut hingga 27 Nov

KUCHING, 22 NOV – Tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di daerah Kuching dilanjutkan lima hari lagi sehingga 27 November ini, menurut keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak hari ini.

Pemangku Pengerusi JPBN Sarawak Tan Sri Dr James Jemut Masing berkata keputusan itu dibuat kerana dalam tempoh 14 hari lepas masih terdapat 58 kes penularan tempatan positif COVID-19 dalam daerah itu.

“Taburan kes jangkitan ini tidak tertumpu di kawasan tertentu sahaja. Oleh yang demikian setelah membuat penilaian risiko, tempoh PKPB di daerah Kuching dilanjutkan sehingga 27 November ini,” katanya pada sidang media harian COVID-19 di sini. Menurut beliau, sekiranya JBPN Sarawak mendapati dalam tempoh lanjutan PKPB tidak ada lagi keperluan untuk menguatkuasakan perintah berkenaan, tempoh pelaksanaan itu boleh dipendekkan pada bila-bila masa.

Selain itu, katanya, tatacara kemasukan dan tempoh pelaksanaan kuarantin selama 14 hari apabila masuk ke Sarawak juga dilanjutkan sehingga diberitahu kelak. Katanya, pergerakan keluar masuk merentasi daerah Kuching juga tidak dibenarkan kecuali untuk tugas rasmi dan tujuan bekerja dengan menunjukkan surat serta pas kerja daripada ketua jabatan atau majikan, sementara bagi kes kecemasan, ia dibenarkan tetapi perlu permit. – Bernama