PKPB di Labuan mulai 17 hingga 30 Oktober

KUALA LUMPUR, 15 OKT – Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Wilayah Persekutuan Labuan berkuat kuasa 17 hingga 30 Oktober ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, keputusan itu dicapai pada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini, selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mengambil kira peningkatan kes serta penularan COVID-19 di kawasan tersebut.

“Bagi prosedur operasi standard (SOP) PKPB di Labuan, semua aktiviti ekonomi termasuk industri dan perkilangan adalah dibenarkan.

“Bagaimanapun, pergerakan keluar masuk merentas negeri adalah tidak dibenarkan kecuali bagi sesetengah kes seperti kecemasan dan pekerja yang mempunyai pas pekerja,” katanya pada sidang media secara maya menerusi Facebook Kementerian Pertahanan. Mengulas lebih lanjut, beliau berkata memandangkan Labuan merupakan kawasan aktiviti perairan, perkhidmatan pengangkutan air seperti feri Ro-Ro, feri ekspres dan bot laju dibenarkan beroperasi sehingga 6 petang dengan kapasiti terhad selain mematuhi SOP yang ditetapkan.

Selain itu, beliau berkata aktiviti lain yang dibenarkan ialah perkhidmatan pengangkutan teksi air dan penambang bermula 6 pagi hingga 6 petang serta proses ‘sign on’ dan ‘sign off’ industri perkapalan serta minyak dan gas mengikut peraturan SOP yang sedang berkuat kuasa.

“SOP bagi pergerakan keluar masuk anak kapal kekal seperti yang telah ditetapkan sebelum ini. Namun bagi anak kapal yang datang dari Sabah ke Labuan, mereka yang melakukan ‘sign off’ adalah diperlukan untuk menjalani kuarantin wajib selama 14 hari,” katanya. Mengenai aktiviti ekonomi di kawasan PKPB tersebut, Ismail Sabri berkata aktiviti berkenaan dibenarkan beroperasi seperti biasa dengan mematuhi SOP serta waktu operasi yang ditetapkan. – Bernama