PKPB enam daerah di Sarawak sehingga 26 Jan

KUCHING, 11 JAN – Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) Sarawak memutuskan, untuk meletakkan enam daerah di negeri itu di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dari 13 hingga 26 Januari ini, selepas mencatatkan 153 kes baharu COVID-19 hari ini.

Pengerusi JPBN Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, penguatkuasaan PKPB itu akan dilaksanakan di daerah Kuching, Samarahan, Serian, Sibu, Sarikei dan Miri.

“Memandangkan kes positif COVID-19 di Kuching, Sibu dan Miri, kian meningkat setiap hari maka keputusan berkenaan terpaksa dibuat, setelah menilai situasi dengan mengambil kira kes jangkitan tempatan yang direkodkan di Sarawak iaitu sebanyak 209 kes dalam tempoh 14 hari yang lepas,” katanya pada sidang media harian COVID-19 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Uggah berkata susulan daripada penguatkuasaan itu, pergerakan rentas negeri dari Semenanjung, Sabah dan Labuan tidak dibenarkan kecuali dengan kebenaran daripada polis.

“Pergerakan rentas zon di dalam negeri juga tidak dibenarkan melainkan mendapat kebenaran (permit polis),” katanya sambil menjelaskan zon Kuching terdiri daripada Samarahan dan Serian; zon Sibu (Sibu dan Sarikei) dan zon Miri.

Sementara itu, Uggah berkata pada hari ini terdapat pertambahan satu lagi kluster baharu iaitu kluster Jelita melibatkan daerah Miri.

“Indeks kes kepada kluster ini ialah empat orang rakan perniagaan yang telah datang ke Miri, Sarawak dari Melaka dan Pahang, yang telah dikesan positif COVID-19 pada 31 Disember 2020,” katanya. – Bernama

JBPN Sarawak memutuskan untuk meletakkan enam daerah di negeri itu di bawah PKPB dari 13 hingga 26 Januari ini.