PKPP beri kelegaan kepada pengusaha kecil Sarawak

KUCHING, 8 JUN – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang akan bermula Rabu ini memberi nafas lega buat golongan peniaga dan pekerja kerana peraturan pergerakan yang dilonggarkan itu akan membolehkan mereka menjalankan aktiviti perniagaan.

Farser Sijip, 42, dan Japar Jahe, 39, berkata mereka berasa lega kerana boleh meneruskan perniagaan kimpalan mereka kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menjejaskan pendapatan mereka.

“Kami kehilangan pendapatan sepenuhnya semasa tem-poh PKP dan terpaksa bergantung kepada simpanan kami,” kata Farser.

Farser berkata sebelum PKP, mereka menerima tiga tempahan daripada pelanggan untuk membuat kekisi rumah tetapi berikutan sekatan yang dikenakan semasa PKP mereka hanya dapat meneruskan kerja itu hari ini.

Pengusaha kraftangan rotan Sandra Trinata Kolerensius Sugeng pula berkata, perniagaannya terjejas teruk ketika PKP kerana tiada jualan, malah dia juga perlu membayar gaji kepada kira-kira 30 kakitangan yang bekerja dari rumah.

Sandra berkata, syarikatnya yang mengkhususkan produk kraftangan Borneo, berhenti menerima dan menghantar pesanan sejak pelaksanaan PKP pada 18 Mac dan dia menanggung kos overhed antara RM20,000 hingga RM30,000.

“Tiada pesanan baharu diterima, pesanan yang disahkan juga tidak dapat dihantar manakala pembayaran juga tersekat,” katanya menambah, sebelum PKP dia menerima beberapa pesanan kebanyakannya kerusi rotan dari luar negara dan Semenanjung Malaysia tetapi tidak dapat membuat penghantaran kerana kekura-ngan khidmat pengiriman. – Bernama