PKPP: Tidak lagi wajib bawa sejadah sendiri

KUALA LUMPUR, 25 OGOS – Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Perintah Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan hari ini bersetuju untuk tidak lagi mewajibkan individu yang ingin menunaikan solat berjemaah di masjid membawa sejadah sendiri, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Namun begitu, beliau berkata penggunaan sejadah sendiri adalah digalakkan dan pemakaian penutup mulut dan hidung masih diwajibkan.

Ismail Sabri berkata kelonggaran membawa sejadah sendiri itu mengambil kira keluhan individu yang tidak dibenarkan masuk untuk solat berjemaah di masjid gara-gara terlupa untuk membawa sejadah.

“Saya ingin berterima kasih kepada imam dan jawatankuasa masjid kerana tegas dalam memastikan SOP (prosedur operasi standard) dipatuhi sepenuhnya,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata jawatankuasa masjid dibenarkan menjual penutup mulut dan hidung tiga lapis kepada jemaah yang terlupa dengan harga yang ditetapkan kerajaan.

Masjid juga boleh menyediakan pelapik kertas pakai buang untuk menggantikan sejadah, katanya.

Selain itu Ismail Sabri berkata mesyuarat khas itu juga bersetuju untuk membenarkan warganegara asing menunaikan solat secara berjemaah di masjid bermula 1 September ini.

Bagaimanapun, mereka perlu mematuhi SOP ditetapkan termasuk mendaftar sebelum dibenarkan masuk ke dalam masjid.

“Manakala kebenaran adalah tertakluk kepada pihak masjid yang perlu mengikut kapasiti dibenarkan dan mematuhi penjarakan fizikal,” katanya. – Bernama

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, kelmarin. – Bernama