PKR S’wak tunggu dan lihat

KUCHING, 25 Jun – PKR Sarawak mengambil pendirian berdiam diri berikutan desas-desus yang dua Anggota Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan dilantik sebagai menteri kabinet Persekutuan.

Ketua Perhubungan PKR Sarawak Vernon Kedit (gambar) berkata memandangkan ia hanyalah desas-desus maka, pihaknya enggan membuat sebarang ulasan.

“Kita tunggu dan lihat. Selepas pengumuman dibuat, barulah kita boleh mengulas. Lagipun pelantikan anggota kabinet adalah hak perdana menteri,” kata Vernon pada sidang media di sini, hari ini.

Vernon menjangka perdana menteri akan membuat pengumuman tentang perkara itu esok kerana beberapa anggota PKR Sarawak sudah berada di Kuala Lumpur sejak semalam.

Sementara itu, Ketua Cabang PKR Batang Lupar Abang Zulkifli Abang Engkeh berkata penubuhan parti baharu Parti Sedar Rakyat Sarawak (SEDAR) tidak akan mendapat sokongan masyarakat Melayu di Sarawak.

Bekas timbalan pengerusi PKR negeri Sarawak itu berkata bahawa masyarakat Melayu di Sarawak kini lebih cenderung untuk bersama PKR.

“Malah, beberapa ranting dan anggota Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sudah menyertai PKR. Mereka membuat permohonan menjadi ahli PKR secara dalam talian,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Abang Zulkifli yakin PKR akan mendapat sokongan yang lebih kuat selepas ini kerana keyakinan rakyat terhadap parti itu semakin bertambah.

Media melaporkan penubuhan Parti Sedar adalah sebagai alternatif kepada PBB dan PKR untuk meraih sokongan masyarakat Melayu.

Pengasasnya Datuk Othman Abdillah berkata mesyuarat protem mengenai penubuhan parti itu terpaksa ditangguhkan sementara. – Bernama