Monday, February 10, 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    PKS agenda utama negara

    Oleh Sim Y. H.

    Gambar oleh Muiz Matdani

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mei – Pembangunan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang kukuh dan dinamik merupakan satu keutamaan dalam agenda kebangsaan bagi banyak negara termasuk Negara Brunei Darussalam.

    Pembangunan dan pertumbuhan PKS yang signifikan akan menyokong usaha Brunei untuk mempelbagaikan ekonomi negara selaras dengan aspirasi kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke arah Wawasan 2035.

    Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, selaku timbalan pengerusi Lembaga Pengarah Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) berkata demikian semasa berucap pada Persidangan Perbankan Antarabangsa di The Empire Hotel and Country Club, Jerudong, hari ini.

    Menurut beliau, anggaran terkini menunjukkan PKS di kebanyakan negara ASEAN menyumbang kepada 20 hingga 50 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) merangkumi lebih daripada 95 peratus jumlah keseluruhan perniagaan dan menjana di antara 50 hingga 90 peratus peluang pekerjaan.

    “Pada masa yang sama, PKS juga mempunyai potensi untuk menangani cabaran baru bagi meningkatkan prestasi dan produktiviti,” kata beliau

    Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri yang hadir selaku tetamu kehormat.
    Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri yang hadir selaku tetamu kehormat.
    Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar ketika berucap pada Persidangan Perbankan Antarabangsa kelmarin.
    Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar ketika berucap pada Persidangan Perbankan Antarabangsa kelmarin.

    “Oleh itu, terdapat potensi yang amat besar bagi PKS untuk menjana nilai positif yang signifikan kepada ekonomi dan menyumbang kepada kadar pertumbuhan ekonomi yang seimbang dan mapan termasuk peluang pekerjaan dan kestabilan sosial.”

    Yang Berhormat Pehin berkata, adalah amat penting bagi penggubal dasar untuk terus menggandakan usaha dalam menyokong pembangunan PKS.

    Dalam dunia yang pesat berubah, Yang Berhormat Pehin berkata, PKS terus berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuk akses pada pembiayaan, permintaan pasaran yang berubah dan perubahan rejim kawalan.

    “Dalam perubahan pesat berkenaan, PKS mesti peka dan pantas untuk merebut peluang yang baru muncul untuk terus berkembang,” tambah beliau.

    Oleh itu, ekonomi digital boleh memberikan penyelesaian kepada cabaran berkenaan di mana kewujudan model perniagaan baru boleh dimanfaatkan seperti akses kepada rangkaian nilai global bagi mengurangkan kos serta halangan kepada pasaran bagi membantu meningkatkan jualan dan eksport mereka.

    Daripada segi akses kepada pembiayaan atau sumber kewangan, ekonomi digital membolehkan model pembiayaan baru seperti crowdfunding dan pinjaman daripada rakan sebaya (peer-to-peer lending) diwujudkan bagi memberikan PKS pilihan pembiayaan yang lebih meluas.

    Manakala dari segi pertumbuhan, PKS yang terbatas dengan kemahiran khas dan pengurusan dalam usia digital boleh diatasi menerusi platform dan kursus atas talian.

    “Oleh itu, saya percaya pendigitalan ialah peneraju penting daya saing masa depan dan inovasi pembangunan PKS,” kata Yang Berhormat Pehin.

    Mengulas mengenai pembiayaan untuk pertumbuhan PKS, Yang Berhormat Pehin berkata bahawa sistem kewangan Islam telah berkembang menjadi sistem kewangan komprehensif dengan sektor perbankan, pasaran kapital dan sektor takaful yang boleh dimanfaatkan.

    Para jemputan yang menghadiri persidangan kelmarin.
    Para jemputan yang menghadiri persidangan kelmarin.

    Beliau berkata, AMBD yang peka dengan kepentingan PKS sebagai enjin pertumbuhan negara telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memudah cara peminjaman perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) termasuk penubuhan Biro Kredit pada 2012, pelaksanaan Collateral Registry System pada Disember 2016 dan pengenalan Fintech Regulatory Sandbox Guidelines pada Februari 2017.

    Yang Berhormat Pehin juga menyatakan menjana pertumbuhan sektor PKS terus menjadi keutamaan dalam agenda dasar kerajaan, di mana beberapa inisiatif telah dilancarkan untuk mempromosikan pertumbuhan PKS termasuk penubuhan Darussalam Enterprise (DARe) pada Januari 2016 dan penubuhan SME Bank patuh syariah pada Mac 2017.

    Pembangunan masa depan PKS juga dipercayai akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh dan saksama.

    Memandangkan pentingnya untuk merealisasikan potensi penuh PKS, AMBD juga terus bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan yang relevan untuk menyediakan suasana pertumbuhan yang kondusif menerusi pendekatan Whole of Nation.

    Pada masa yang sama, Yang Berhormat Pehin menyeru supaya PKS melaksanakan inisiatif mereka sendiri untuk melengkapi usaha yang dikendalikan oleh kerajaan.

    “Inisiatif sendiri dan kecekalan akan membantu pengusaha menangani pelbagai cabaran kerana PKS boleh berubah mengikut keadaan.

    “Inisiatif juga membolehkan mereka untuk membangun dan meningkatkan lagi sumbangan terhadap ekonomi kita, sekali gus menyokong usaha negara dalam pertumbuhan dan mempelbagaikan ekonomi,” kata Yang Berhormat Pehin.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda