Thursday, April 25, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    PKS boleh raih manfaat daripada RCEP

    KUALA LUMPUR, 4 APRIL – Ekonomi membangun Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) seperti Indonesia, Vietnam, Malaysia dan Filipina boleh memberi manfaat kepada perusahaan kecil dan sederhana kerana ekonomi-ekonomi ini mampu menyediakan akses kepada pasaran yang besar, buruh murah serta sumber asli atau bahan mentah.

    Ini ialah kerana akses yang lebih murah ke pasaran baharu akan mendorong syarikat-syarikat besar, bermodal tinggi dan inovatif untuk melabur dan mewujudkan kehadiran dalam pasaran baharu di seluruh rantau ini.

    Menurut Terbitan ke-31 Berita Pelaburan & Cukai ASEAN (AITN) oleh BDO, dengan berbuat demikian, syarikat akan memudahkan pemindahan pengetahuan dan teknologi daripada negara maju kepada ekonomi membangun.

    Laporan itu menambah syarikat-syarikat juga mungkin mewujudkan kemudahan pengeluaran dalam ekonomi ini, sekali gus meningkatkan kapasiti produktif di negara-negara berkenaan.

    Trend sebegini boleh meningkatkan jumlah faktor produktiviti ekonomi membangun, dan seterusnya membawa kepada pertumbuhan dan pendapatan yang lebih tinggi.

    PKS berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan faedah ini, terutamanya dalam sektor barangan, pembuatan, teknologi dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

    “Memandangkan banyak syarikat besar bakal memasuki pasaran baharu yang sedang membangun, mereka akan mencari rakan kongsi, pembekal dan vendor. Ia tidak semestinya melibatkan syarikat besar dan selalunya merupakan perniagaan pasaran pertengahan atau PKS.

    “Walau apa pun, pemindahan pengetahuan dan teknologi sudah pasti akan mengalir kepada syarikat-syarikat kecil dalam ekonomi yang menerima pelaburan masuk, melalui ekosistem canggih dan cekap yang akan berkembang,” kata laporan itu.

    Ini akan lebih dirasai dalam RCEP berbanding dalam perjanjian ASEAN Campur Satu atau perjanjian perdagangan lain di seluruh rantau Indo-Pasifik kerana rangka kerja hak harta intelek (IPR) yang dipertingkatkan akan memberikan lebih keyakinan dan kepercayaan untuk memudahkan pertukaran tersebut.

    “Perlindungan IPR yang mencukupi boleh memainkan peranan penting dalam menarik pelaburan langsung asing dan menggalakkan pemindahan teknologi dan limpahan pengetahuan,” katanya yang memetik kertas kerja Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) 2019 mengenai dasar pemindahan teknologi antarabangsa.

    Sehubungan itu, laporan itu menambah PKS di seluruh rantau ini harus mengamalkan pemikiran positif terhadap RCEP dan bersedia untuk menjadi penerima pemindahan teknologi dalam persekitaran IPR yang lebih canggih dan tersusun yang akan digiatkan oleh RCEP. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...