PKS di Labuan amat perlukan bantuan

LABUAN, 26 APRIL – Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di sini mula merasai impak daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan pandemik COVID-19, mengunjurkan hutang sewa yang tinggi dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Mereka berkata kebanyakan PKS di pulau ini masih menyewa premis dan tanah milik kerajaan untuk menjalankan aktiviti perniagaan.

Labuan diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan pada 1984 dan kemudiannya diberi status pusat perniagaan dan kewangan antarabangsa Malaysia pada 1996.

Presiden Dewan Usahawan Melayu Labuan (DUML) Datuk Seri Mohd Alias Abd Rahman berkata pengecualian sewa ke atas hartanah milik kerajaan semasa PKP tidak merangkumi Labuan, menyebabkan PKS di pulau ini menghadapi kesukaran.

Beliau berkata mereka bimbang sama ada mereka dapat terus membayar sewa bulanan yang dikenakan oleh pihak berkuasa tempatan Labuan Corporation.

“Kami dimaklumkan beberapa pengusaha mungkin perlu menutup kedai, terutamanya mereka yang mempunyai aliran tunai yang menyusut, berikutan kami mencatatkan urus niaga sifar sejak PKP dikuatkuasakan. Syarikat kami tidak menjana apa-apa pendapatan memandangkan kami masih mematuhi perintah itu,” katanya kepada Bernama hari ini. – Bernama