Sunday, January 19, 2025
28 C
Brunei

    Berita Terkini

    PKS pemacu utama pertumbuhan ekonomi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 DIS – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), hari ini, telah mengadakan Perjumpaan Penglibatan Rakan-rakan sebagai pendahulu kepada Siri SME360 BIBD.

    Menurut BIBD, perjumpaan bersama rakan-rakan strategik dan stakeholder utama itu bertujuan untuk menghimpunkan pemain-pemain industri dan memanfaatkan pengetahuan serta kepakaran mereka dalam sektor-sektor relevan bagi membuatkan Siri SME360 satu kejayaan.

    Pemangku Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Hajah Noraini binti Haji Sulaiman dipetik berkata, “Sementara perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kekal salah satu pemacu utama pertumbuhan ekonomi, kami memahami bahawa mereka berdepan pelbagai halangan dalam usaha mengembangkan perniagaan.

    “Menerusi Siri SME360, kami berhasrat untuk mempromosikan hubungan antara semua saiz perniagaan, menghimpunkan perniagaan-perniagaan bagi manfaat bersama dan peluang-peluang perangkaian untuk bekerjasama menghasilkan impak positif,” ujar beliau.

    Menurut beliau lagi, platform berkenaan akan memperkasa perbincangan aktif dan berkaitan mengenai cabaran-cabaran bersama, berkongsi amalan-amalan terbaik dan mengenal pasti peluang-peluang perniagaan untuk bangkit lebih kuat pada 2022.

    Berucap pada acara itu, Hajah Noraini menambah, di BIBD mereka memang menyedari bahawa kerjasama dan perkongsian bersama stakeholder strategik adalah cara terbaik untuk menghasilkan impak positif.

    Menurut BIBD, perjumpaan yang diadakan secara maya itu mempertemukan hampir 70 pemimpin industri mewakili pelbagai kumpulan dan sektor perniagaan yang berlainan, termasuk Darussalam Enterprise (DARe), pelbagai dewan perdagangan dan persatuan perniagaan serta pemain-pemain utama daripada sektor makanan dan minuman, runcit, kecergasan, hartanah dan sebagainya.

    Dalam tempoh beberapa bulan seterusnya, BIBD akan menganjurkan forum-forum maya yang meliputi 10 sektor perniagaan yang paling terkesan oleh pandemik COVID-19.

    Dengan DARe sebagai rakan strategik, forum-forum berkenaan akan mengumpulkan pemain-pemain industri untuk membincangkan cabaran-cabaran semasa dan berkongsi pengalaman mereka dalam harapan dapat melengkapkan pemilik perniagaan dan stakeholder lain dengan akses kepada sumber-sumber, pengetahuan dan peluang rangkaian bagi memulakan kebangkitan semula secara mampan, bertanggungjawab dan cekap.

    Hajah Noraini semasa menghadiri perjumpaan tersebut yang diadakan secara maya. – Gambar serahan BIBD
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda