Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 NOV – Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) Brunei dan Muara memperingati penubuhannya ke-10 dengan majlis khatam Al-Quran di Dewan Kemasyarakatan Perumahan Lambak Kanan, kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah.
Beliau turut merasmikan majlis Memperingati 10 Tahun Penubuhan PKWE Brunei dan Muara dan di-selajurkan dengan majlis khatam Al-Quran.
Bacaan takhtim dipimpin oleh Bilal Masjid Suri Seri Begawan Kampung Manggis, Awang Raziman bin Haji Ramli yang juga membaca Doa Khatam Al-Quran.
Pada majlis itu, Dr Siti Norkhalbi juga menyampaikan sijil dan cenderamata kepada mantan-mantan pengurus dan penolong pengurus pusat berkenaan serta berpeluang menyaksikan pameran aktiviti-aktiviti PKWE.
PKWE Brunei dan Muara telah ditubuhkan pada 12 Mac 2013 dengan Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim telah berkenan menyempurnakan perasmiannya.