PKWE anjur majlis selawat

Oleh Nurdiyanah R.

TUTONG, 13 OKT – Dalam menyemarakkan lagi keindahan bulan Rabiulawal yang mencatatkan detik bersejarah kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW, Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) Daerah Tutong telah mengadakan majlis selawat secara dalam talian menerusi aplikasi Zoom, baru-baru ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin yang sekali gus mengetuai bacaan Surah Al-Fatihah bagi memulakan majlis.

Majlis yang bukan sahaja dihadiri oleh ahli-ahli PKWE Tutong malahan warga emas dan orang ramai dari daerah lain itu diserikan dengan tazkirah bertajuk ‘Warga Emas Aset Berharga Negara’ yang disampaikan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Ar-Rahim, Kampung Bukit Panggal, Tutong, Haji Kamaluddin bin Haji Abdul Rahman selaku penceramah jemputan.

Seterusnya majlis diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam bagi memohon perlindungan supaya raja, rakyat dan tanah air dilindungi daripada wabak COVID-19 yang dipimpin oleh Pengurus PKWE Daerah Tutong, Haji Hamaffi bin Mohd Yassin.

Antara tujuan majlis berkenaan adalah untuk menyucikan hati dengan merebut fadilat selawat berjemaah sekali gus mampu mengimarahkan kediaman masing-masing dengan kegiatan kerohanian menerusi bacaan selawat berkenaan.

Di samping itu, ia juga mampu mewujudkan jalinan persaudaraan sesama Islam dalam kalangan peserta yang terlibat sekali gus membuka minda dan pengetahuan terkini mengenai cara-cara penggunaan teknologi dalam talian.

Turut menyertai majlis ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Haji Ramli bin Haji Lahit dan Yang Berhormat Haji Emran bin Haji Sabtu.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan hadir bersama ahli lain semasa majlis selawat yang diadakan secara dalam talian baru-baru ini. – Gambar serahan PKWE Daerah Tutong).