PKWE Brunei dan Muara panjat Doa Kesyukuran

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 NOV – Sebagai merakamkan kesyukuran beralihnya negara ke Fasa Peralihan, seramai 30 orang ahli Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) Daerah Brunei dan Muara telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran bagi menandai pembukaan semula pusat berkenaan, baru-baru ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Ketua Bahagian Perkhidmatan Warga Emas dan Pencen-pencen di Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Dayang Atiqah binti Ibrahim.

Turut hadir ialah Pengurus PKWE Daerah Brunei dan Muara, Haji Yusof bin Mohd Salleh bersama ahli-ahli yang lain.

Acara dimulai dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh salah seorang ahli pusat berkenaan, Haji Ali bin Palai, kemudian diikuti dengan ucapan tetamu kehormat majlis dan juga pengurus PKWE. Kemudian majlis diteruskan dengan bacaan Surah Yasin dan Doa Kesyukuran Memohon Terhindar dari Wabak COVID-19 serta Doa Peliharakan Sultan beramai-ramai.

Majlis antara lain bertujuan untuk sama-sama merakamkan kesyukuran kepada Allah SWT di atas segala nikmat pinjaman rezeki kesihatan selama ini sekali gus berusaha bangkit semula bersama menjalani kehidupan norma baharu dengan penuh kewaspadaan.

Dalam pada itu, ahli-ahli PKWE juga sentiasa menyemai semangat beringat-ingat antara satu sama lain untuk mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditekankan oleh pihak-pihak berkepentingan dari semasa ke semasa.

Antara warga PKWE Daerah Brunei dan Muara yang menghadiri Majlis Doa Kesyukuran bagi menandai pembukaan semula pusat berkenaan, baru-baru ini.