PKWE, JAPEM anjur sukan memanah

Oleh Normazlina M.D

TUTONG, 14 April – Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) Daerah Tutong dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) Cawangan Daerah Tutong dan Ar-Rafi Archery Brunei telah mengadakan Majlis Riadah Sukan Memanah buat julung kalinya di kawasan lapang belakang bangunan PKWE Tutong, pagi tadi.

Hadir merasmikan majlis riadah tersebut ialah Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pengiran Mohammad Amirizal bin Pengiran Haji Mahmud.

Turut hadir di majlis berkenaan ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Umarali bin Esung, Yang Berhormat Haji Abdul Wahab bin Apong bersama Yang Dimuliakan Pehin Goh Kin Chin.

Seramai lebih kurang 80 ahli warga emas telah menyertai sukan tersebut yang dibukakan kepada beberapa kategori iaitu Kategori VIP 5M, Kategori VIP 10M, Kategori Warga Emas Lelaki 5M dan 10M dan Warga Emas Perempuan 5M dan 10M.

Antara tujuan sukan itu dijalankan ialah memberi peluang kepada ahli warga emas untuk merasai dan mempelajari sukan memanah sebagaimana mengikut sunnah Rasulullah di samping dapat memberikan pendedahan kepada ahli warga emas untuk mengikuti pelbagai aktiviti sukan, sekali gus dapat mengeratkan hubungan silaturrahim antara ahli-ahli warga emas.

Pengiran Mohammad Amirizal ketika merasmikan Majlis Riadah Sukan Memanah, kelmarin.