PKWE, muzium dibuka semula hari ini

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JUN – Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE), muzium-muzium, galeri pameran dan perpustakaan yang telah ditutup sejak 16 Mac lalu disebabkan penularan COVID-19 akan boleh mula beroperasi esok (15 Jun) dengan pelaksanaan peringkat ke-2 Pelan De-escalation yang telah diumumkan kelmarin.

Di bawah pelaksanaan tahap pertama (Operational Readiness Level 1), fasiliti-fasiliti tersebut akan beroperasi berpandukan kepada syarat dan garis panduan seperti PKWE dibenarkan untuk beroperasi dengan 30 peratus kapasiti sahaja dalam satu masa.

Perkara berkenan dijelaskan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin.

Beliau menjelaskan lanjut, pusat berkenaan hanya dibukakan kepada warga emas yang berisiko rendah (low risk) iaitu tidak mempunyai sebarang penyakit kronik di samping tidak mempunyai sebarang penyakit atau simptom seperti demam dan selesema.

Aktiviti pusat juga dihadkan kepada aktiviti dalaman di mana aktiviti luar (outdoor) adalah tidak dibenarkan.

Muzium-muzium, galeri pameran dan perpustakaan juga dibenarkan untuk beroperasi dengan 30 peratus kapasiti dalam satu masa sahaja tertakluk kepada kapasiti ruang dan jika berkumpulan, ia tidak melebihi 30 orang dalam satu masa tertakluk juga kepada kapasiti ruang.

Fasiliti-fasiliti tersebut hanya dibukakan kepada orang ramai yang tidak mempunyai sebarang penyakit atau simptom seperti demam dan selesema serta tidak berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan yang merbahaya. Fasiliti-fasiliti juga akan dibukakan tiga hari dalam seminggu bagi tempoh 5 jam sehari.

Bagi muzium-muzium, galeri pa-meran dan perpustakaan di bawah kawalan Kementerian, Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), ia akan dibukakan pada Selasa, Khamis dan Ahad manakala itu, hari-hari operasi bagi galeri-galeri pameran lain adalah tertakluk kepada pemilik masing-masing.

Untuk maklumat lanjut, pusat-pusat dan orang ramai bolehlah merujuk kepada garis panduan terperinci yang telah disediakan oleh KKBS dengan kerjasama Kementerian Kesihatan dengan melayari laman sesawng www.kkbs.gov.bn.

KKBS mengingatkan kepada para pengguna, pengunjung serta pengurus pusat dan fasiliti tersebut untuk memuat turun applikasi BruHealth bagi tujuan pendaftaran kod QR.

Orang ramai khususnya golongan warga emas serta individu-individu yang ada hubungan bersama golongan sasaran diingatkan untuk sentiasa berwaspada dan sama-sama membantu untuk mengamalkan tanggungjawab sosial, memastikan penjarakan fizikal serta memastikan kebersihan diri dan persekitaran pada setiap masa demi memastikan keselamatan setiap pihak.