Saturday, March 15, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    PLA-N adakan lawatan muhibah

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Sept – Kapal-kapal Tentera Laut Tentera Pembebasan Rakyat (PLA-N), Republik Rakyat China iaitu CNS CHANG CHUN, CNS JING ZHOU dan CNS CHAO HU sedang berada di Negara Brunei Darussalam untuk membuat lawatan muhibah selama tiga hari bermula kelmarin hingga esok.

    Negara Brunei Darussalam merupakan persinggahan mereka yang ke-18 setelah memulakan pelayaran pada 23 April dari Shanghai dengan diketuai oleh Panglima Besar Kumpulan Petugas Tentera Laut 150 Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) dan Timbalan Komander Pemerintahan Medan Timur PLA-N, Republik Rakyat China, Laksamana Muda Shen Hao.

    Semalam, Laksamana Muda Shen Hao telah membuat kunjungan muhibah kepada Timbalan Menteri Pertahanan, Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Haji Abdul Aziz bin Haji Mohd Tamit di Bolkiah Garison.

    Semasa kunjungan tersebut, Timbalan Menteri Pertahanan menyambut baik lawatan delegasi PLA-N itu dan kedua-dua pihak merakamkan rasa gembira atas hubungan baik dan mesra di antara tentera-tentera laut kedua-dua negara.

    Laksamana Muda Shen Hao juga menyuarakan komitmen mereka untuk mengukuhkan lagi hubungan di antara kedua-dua tentera laut.

    Timbalan Menteri Pertahanan ketika bergambar ramai bersama rombongan berkenaan.
    Timbalan Menteri Pertahanan bersama Laksamana Muda Shen Hao ketika bertukar cenderahati semasa lawatan tersebut.

    Satu pencapaian penting dalam hubungan pertahanan dua hala di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China adalah penandatanganan memorandum persefahaman antara Kementerian Pertahanan, Negara Brunei Darussalam dengan Kementerian Pertahanan Negara, Republik Rakyat China mengenai Memperkukuh Kerjasama Pertahanan pada 13 September 2017 sewaktu lawatan rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke Republik Rakyat China.

    Kemudian, Laksamana Muda Shen Hao juga telah membuat kunjungan hormat kepada Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah.

    Semasa kunjungan hormat itu, Pemerintah ABDB mengalu-alukan kedatangan Laksamana Muda Shen Hao dan anak kapalnya ke Negara Brunei Darussalam.

    Laksamana Muda Shen Hao ketika membuat kunjungan kepada Pemerintah ABDB.

    Pemerintah ABDB juga menyambut baik lawatan pelabuhan tiga buah kapal Tentera Laut Republik Rakyat China berkenaan.

    Kedua-dua belah pihak juga memuji interaksi ketenteraan dua hala di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China yang terus berkembang dalam pelbagai bidang kerjasama.

    Dalam pada itu, majlis resepsi juga telah diadakan di Kapal CNS CHANG CHUN, semalam yang dihadiri oleh Timbalan Menteri Pertahanan selaku tetamu kehormat.

    Turut hadir ialah Pemerintah ABDB; Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan, Kapten (B) Dato Paduka Abdul Rahman bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar, TLDB; pemerintah-pemerintah angkatan tentera, para pegawai kanan dan pegawai-pegawai Kementerian Pertahanan dan ABDB.

    Kenyataan itu menjelaskan, kapal-kapal PLA-N berkenaan akan mengadakan Latihan Passage (PASSEX) dengan KDB DARUSSALAM, yang dijadualkan esok.

    Kapal-kapal tentera berkenaan akan turut mengambil bahagian dalam latihan komunikasi dan latihan bergerak yang bertujuan untuk meningkatkan interoperabiliti di antara kedua-dua angkatan laut.

    Perlaksanaan PASSEX itu juga menggariskan hubungan pertahanan dan ketenteraan yang semakin meningkat antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China. Kedua-dua negara juga berinteraksi secara kerap melalui lawatan peringkat tinggi dan pertukaran kakitangan di semua peringkat.

    Semasa lawatan ini, TLDB dan PLA-N juga mengadakan pelbagai pertukaran profesional, serta interaksi sukan yang akan meningkatkan pemahaman dan persahabatan di antara kedua-dua angkatan laut.

    Berikutan lawatan ini, PLA-N akan membuat lawatan pelabuhan di Pelabuhan Sihanaok Ville Autonomous di Kemboja.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda