Platform asah bakat graduan

Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 SEPT – Ke arah membekalkan graduan dengan nilai kemahiran dan pengetahuan sekali gus mempersiapkan mereka untuk menerokai bidang keusahawanan, satu lagi platform yang diusahakan oleh lepasan graduan dan dinamakan sebagai Perkhidmatan Graduan Bersepadu memulakan operasinya hari ini.

Perkhidmatan Graduan Bersepadu ditubuhkan bagi menyahut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk memberi peluang graduan daripada pelbagai bidang pendidikan di negara ini untuk berkhidmat kepada masyarakat dalam bidang keusahawanan dan perniagaan. Sehubungan itu, majlis doa selamat dan kesyukuran telah diadakan sempena bermulanya perkhidmatan tersebut yang berlangsung di Bangunan Julangan Titah – Graduan Bersepadu, Kampung Jaya Setia, Berakas.

Hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong; Menteri Pertahanan Kedua,Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof; dan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.

Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti binHaji Mohd Daud; Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liewbin Abdullah; Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof; Menteri Tenaga, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Sunny bin Haji Mohd Hussein; Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman; Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya SaifulMulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh wakil graduan dari Designer Graduan, Awang Muhammad Ikhwan bin [email protected], manakala laungan selawat dibacakan oleh wakil graduan dari Pasaria Graduan, Awangku Muhammad Safwan @Awangku Hazwan bin Pengiran Razak.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama ketika meninjau salah satu ruangan di bangunan tersebut.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew (kiri) dan Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi (tengah) ketika meninjau ruangan kedai.

Di majlis itu, Yang Berhormat Menteri-menteri Kabinet juga berkesempatan meninjau lebih dekat lagi lima unit yang terdapat di bawah Graduan Bersepadu iaitu Pustaka Graduan, Designer Graduan, Pasaria Graduan, Tutor Graduan dan Sajian Graduan.

Menurut salah seorang wakil graduan Sajian Graduan, Dr Siti Norrasidah binti Haji Zahiri, menjelaskan Graduan Bersepadu ditubuhkan sebagai salah satu inisiatif bagi memberi peluang kepada graduan untuk berkhidmat kepada masyarakat dalam bidang perniagaan.

“Ia juga bertepatan dengan hasrat negara untuk menjadi sebuah negara yang maju selaras dengan Wawasan Brunei 2035 yang mahu menjadikan rakyatnya mempunyai berpendidikan tinggi, berkemahiran dan berjaya; mempunyai kualiti kehidupan yang tinggi dan ekonomi negara yang dinamik serta berdaya tahan,” jelasnya.

“Kami rasa bersyukur kerana diberi peluang dan kepercayaan untuk menjalankan tanggungjawab dan menjalankan amanah yang diberikan dalam menyahut dan menjulang titah Baginda Sultan dalam melihat para belia di negara ini sebagai agen perubahan dan seterusnya tidak bergantung sepenuhnya kepada kerajaan,” tambahnya lagi.

Beliau seterusnya berharap, dengan adanya Graduan Bersepadu ini akan dapat dijadikan contoh kepada para graduan supaya berani tampil untuk berkecimpung di dalam dunia keusahawanan.

“Walaupun kami daripada pelbagai bidang yang berbeza, segala apa yang telah kami pelajari itu dapat diaplikasikan dalam bidang-bidang yang kami ceburi,” katanya.