Platform bantu usahawan pasar kraf tangan

PETALING JAYA – Platform ‘The Tunku Azizah Handmade Market (TTAHM) Online’, dapat membantu usahawan industri pembuatan kraftangan tempatan memasarkan produk sendiri secara dalam talian seiring dengan trend semasa, membeli-belah dalam talian.

Melalui platform berkenaan, pengusaha industri khasnya daripada kumpulan berpendapatan 40 peratus ke bawah (B40), berpeluang melangkah lebih jauh dan mampu menembusi pasaran luar negara.

TTAHM yang dikendalikan Persatuan Seni Jahitan Kreatif Malaysia (PSJKM) itu dirasmikan oleh Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Dalam titah ucapannya, Raja Permaisuri Agong selaku penaung PSJKM menzahirkan sokongan penuh baginda terhadap usaha persatuan itu dalam membantu semua perintis termasuk pembuat dan peniaga di TTAHM dalam mengetengahkan industri kraftangan tempatan.

Tunku Azizah turut mengagumi kesungguhan pengerusi PSJKM, Fully Chye Goet Lee yang komited membimbing golongan wanita terutamanya ibu tunggal untuk menjana pendapatan sehingga tertubuhnya TTAHM.

Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan melawat sekitar tapak pameran. – Bernama

“Beliau bukan sahaja banyak membantu saya, malah menolong ibu-ibu tunggal dalam mengajar mereka menjahit sehingga menjadi usahawan.

Selama 15 tahun saya mengenali dia (Chye), saya nampak hati dia tulus ikhlas dalam menolong golongan wanita,” titah Tunku Azizah pada majlis pelancaran itu.

Sementara itu, Chye dalam ucapannya berkata TTAHM adalah laluan kepada industri pembuatan kraftangan untuk melangkah ke hadapan, berdaya saing dan berpotensi untuk dipasarkan ke luar negara.

“Selain menawarkan jualan secara offline, TTAHM kini menawarkan jualan online seiring dengan IR 4.0 supaya industri jahitan kreatif tidak ketinggalan dan dapat bersaing dengan industri lain di samping mempunyai pasaran yang lebih besar sehingga ke luar negara,” katanya. TTAHM merupakan platform keusahawanan yang dibangunkan oleh PSJK untuk membantu penggiat kraftangan tempatan memasarkan produk mereka sendiri secara langsung kepada pelanggan.

Bagi memastikan industri kraftangan tidak ketinggalan dalam arus pemodenan, PSJKM telah memperkenalkan platform tersebut supaya industri itu dapat bergerak mengikut trend semasa.

Selain bengkel jahitan kreatif dan pameran seni jahitan kreatif, satu program anjuran bersama Koperasi Dagang Seni Malaysia Berhad yang diadakan selama empat hari sehingga 1 Mac lalu turut menyediakan 200 gerai produk kraftangan tempatan yang majoriti diusahakan oleh golongan B40 serta orang kurang upaya (OKU). – Bernama