Platform bantu warga sekolah beri pandangan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 SEPT – Terdapat tiga platform iaitu Students Lounge, Teachers Lounge dan School Leaders Lounge, yang telah disediakan oleh Kementerian Pendidikan untuk pelajar, guru dan pemimpin sekolah memerlukan penglibatan yang aktif dan pemberigaan maklumat.

Platform tersebut boleh dilayari di laman sesawang Kementerian Pendidikan untuk memberi peluang kepada pelajar, guru dan pemimpin sekolah berbincang, mengutarakan pandangan selain mendapat sumber digital.

Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman mengongsikan perkara tersebut semasa menjawab persoalan mengenai platform untuk pelajar, guru dan pemimpin sekolah pada sidang media yang berlangsung di Dewan Al-’Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

Yang Berhormat Dato menjelaskan, pihak Kementerian Pendidikan telah menyediakan ketiga-tiga platform tersebut sejak tahun lalu bagi kegunaan pelajar, guru dan pemimpin sekolah secara dalam talian.

Menurut Yang Berhormat Dato, menerusi Students Lounge, pelajar boleh mengakses bukan saja untuk mengutarakan idea tapi untuk mengakses sumber digital yang boleh didapati di kementerian berkenaan.

Manakala untuk Teachers Lounge pula, digalakkan komuniti para guru untuk berinteraksi secara dalam talian sama ada perkara-perkara yang perlu dibincangkan bersama guru-guru yang lain bersama pihak kementerian untuk memajukan pendidikan di negara ini.

Sementara School Leaders Lounge pula dibina untuk menggalakkan adanya perbincangan atau pengutaraan idea antara guru-guru dan pihak kementerian agar terus aktif berbincang bagaimana meningkatkan lagi pembaikan atau peningkatan kualiti pendidikan di negara ini.

“Kesemua platform ini boleh di akses oleh pelajar, guru dan pemimpin sekolah,” tambah beliau.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah semasa menjawab soalan yang diajukan pada sidang media yang berlangsung di Kementerian Kesihatan, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani