Platform dapatkan pengalaman kerja

Oleh Yusrin Junaidi
Gambar oleh Rahwani Zahari

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Mac – Untuk memberikan peluang kepada orang ramai terutamanya para belia mendapat pengalaman kerja, Plus-Exp kini menyediakan laluan dalam talian untuk mendapatkan pengalaman kerja.

Plus-ExP adalah platform dalam talian yang menyediakan peluang pengalaman kerja yang dikendalikan oleh Grominda Group iaitu syarikat penyelidikan yang memfokuskan untuk memupuk pembangunan modal insan melalui peringkat awal dalam pembangunan kerjaya.

Visi syarikat berkenaan adalah untuk menjadi pusat utama untuk pembangunan belia di rantau ini.

Pengasas Bersama Grominda Group, Awang Mohd Nur Aiman bin Haji Minorhadi berkata, me-reka berjanji untuk membangunkan pemimpin masa depan dengan mempercayai nilai teras mereka bagi memupuk belia berintegriti dan bersaing dalam pasaran dengan memperkasakan mereka dengan inovasi sehingga memberi inspirasi kepada mereka untuk bercita-cita tinggi.

Oleh itu, tambah beliau, Plus-EXP diwujudkan untuk membolehkan bakat belia, mendapatkan latihan secara langsung daripada pengalaman kerja yang ditawarkan oleh syarikat.

Salah seorang penceramah menerangkan mengenai platform Plus-Exp.
Antara tetamu yang hadir pada majlis tersebut.

Platform berkenaan juga bertujuan untuk memudahkan bakat belia untuk dipanjangkan ke syarikat-syarikat lain untuk mendapatkan pengalaman bekerja dan dengan itu juga menangani masalah kekurangan pengalaman kerja.

“Kami juga bekerjasama dengan dua buah institusi dan syarikat untuk menyelaraskan kursus-kursus yang ada di universiti di Brunei Darussalam dengan tuntutan pasaran pekerjaan,” tambahnya.

Ciri lain yang termasuk dalam laman web berkenaan adalah latihan dan bengkel, seperti rekrut perunding syarikat itu sendiri yang menyediakan klinik dan bengkel temu duga dan kurikulum vitae (CV).

Menurutnya, bakat muda boleh memohon bengkel berkenaan dengan mendaftar pada Plus-ExP.

Katanya lagi, mereka juga berhasrat untuk bekerjasama dengan syarikat lain bagi menyediakan latihan yang akan meningkatkan pengalaman kerja.

Buat masa ini, tambahnya, pendaftaran untuk syarikat dan bakat sudah ada, walau bagaimanapun, mereka masih menyatukan data untuk laman web, dengan itu ciri-ciri penuh platform akan hanya boleh didapati pada akhir April.