Friday, January 24, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Platform digital dikenakan cukai di Australia

    MELBOURNE, AUSTRALIA, 12 DIS – Kerajaan Australia hari ini berkata ia akan mengenakan cukai ke atas platform digital dan enjin carian yang besar melainkan mereka bersetuju untuk berkongsi hasil pendapatan dengan organisasi media berita Australia.

    Cukai itu akan dikenakan mulai 1 Januari terhadap syarikat teknologi yang memperoleh pendapatan lebih daripada 250 juta dolar Australia (AS$160 juta) setahun dari Australia, kata Penolong Bendahari, Stephen Jones dan Menteri Komunikasi, Michelle Rowland.

    Syarikat termasuk Meta, Alphabet pemilik Google dan ByteDance, pemilik TikTok dari China.

    Cukai itu akan diimbangi melalui wang yang dibayar kepada organisasi media Australia.

    Jumlah cukai yang dikenakan adalah tidak jelas. Tetapi kerajaan berhasrat untuk menjadikan perkongsian hasil dengan organisasi media sebagai pilihan yang lebih murah.

    Stephen Jones (kiri) dan Michelle Rowland hadir pada sidang media di Sydney kelmarin. – AP

    “Objektif sebenar … bukan untuk meningkatkan hasil pendapatan – kami berharap tidak akan meningkatkan sebarang hasil. Objektif sebenar adalah untuk memberi insentif kepada pencapaian perjanjian antara platform dan perniagaan media berita di Australia,” kata Jones kepada pemberita.

    Langkah itu dibuat selepas Meta, yang memiliki Facebook, Instagram dan WhatsApp mengumumkan ia tidak akan memperbaharui perjanjian tiga tahun untuk membayar penerbit berita Australia untuk kandungan mereka.

    Kerajaan terdahulu memperkenalkan undang-undang pada 2021 yang dipanggil Kod Tawaran Media Berita yang memaksa gergasi teknologi untuk mencapai perjanjian perkongsian hasil dengan syarikat media Australia atau berdepan denda sebanyak 10 peratus daripada pendapatan Australia mereka.

    Meta berkata dalam satu kenyataan bahawa undang-undang semasa adalah lemah dan syarikat AS terus mempunyai ‘kebimbangan tentang mengenakan cukai ke atas satu industri dan memberikan subsidi kepada industri lain.’ – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda