Wednesday, April 24, 2024
29.7 C
Brunei

    -

    Platform guru berkongsi amalan baik

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 SEPT – Penilaian formatif memberikan peluang kepada guru untuk menggunakan prosedur penilaian formal dan informal semasa proses pembelajaran supaya mereka dapat menyesuaikan aktiviti pembelajaran serta pengajaran untuk meningkatkan perolehan ilmu pengetahuan pelajar-pelajar.

    Dalam hubungan itu, perkara yang amat penting untuk ditekankan berhubung pencapaian pelajar adalah apa yang berlaku di dalam bilik darjah serta kualiti interaksi antara guru dan pelajar di mana guru mencari apa yang diketahui oleh pelajar mereka dan membuat pelarasan yang sesuai kepada arahan mereka.

    Perkara itu antara yang diketengahkan oleh seorang pakar pendidikan terkemuka dalam penilaian formatif, Profesor Emeritus Dylan William ketika menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Mengapa Penilaian Formatif Perlu Menjadi Keutamaan bagi Setiap Guru
    dan Setiap Sekolah’ semasa Persidangan Hari Guru 2022 yang berlangsung di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam (UBD), hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan perasmian persida-ngan berkenaan ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.

    Turut hadir ialah setiausaha-setiausaha tetap di Kementerian Pendidikan, naib-naib canselor, rektor, timbalan-timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pendidikan serta institusi-institusi pengajian tinggi.

    Yang Berhormat Menteri Pendidikan hadir selaku tetamu kehormat semasa persidangan itu.
    Profesor Emeritus Dylan William ketika menyampaikan ucaptama.
    Antara yang menghadiri persidangan sempena Sambutan Hari Guru ke-32.

    Profesor Emeritus Dylan William menjelaskan, penilaian formatif memberikan maklum balas mengenai apa yang dipelajari dan apa yang tidak dipelajari oleh para pelajar di mana ia membolehkan pendekatan, bahan belajar serta sokongan akademik diselaraskan dengan keperluan pelajar.

    Beliau turut memudah cara sebuah bengkel bertajuk ‘Strategi-strategi dan Teknik Penilaian Formatif’ bersama peserta persidangan pada sebelah petang.

    Terdahulu sebelum ucaptama berkenaan, Dekan Institut Pendidikan Sultan Hassanal Bolkiah (SHBIE), UBD, Profesor Madya Dr Noor Azam bin Haji Othman dalam kata alu-aluannya menjelaskan bahawa persidangan itu menyediakan platform bagi guru-guru untuk berkongsi dan membincangkan mengenai amalan terbaik dan pemikiran terkini dalam usaha untuk memperbaiki lagi pencapaian guru, pelajar dan kualiti pendidikan.

    Beliau menyatakan harapan di akhir persidangan itu, para peserta akan memperkasakan lagi ilmu pengetahuan mereka dalam bidang tema utama iaitu membawa inovasi ke dalam kurikulum, pelaksanaan pedagogi inovatif, penilaian inovatif serta profesionalisme guru.

    Kira-kira 500 orang guru dan pendidik dari sekolah-sekolah rendah, menengah dan pusat-pusat tingkatan enam di sektor kerajaan dan swasta di bawah Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Institut Pendidikan Teknikal Brunei dan institusi-institusi pendidikan tinggi menyertai persidangan berkenaan.

    Ia dianjurkan oleh Jabatan Pengurusan Pendidik, Kementerian Pendidikan dengan kerjasama SHBIE, UBD dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dengan tujuan untuk menyediakan sebuah platform perhimpunan bagi ahli-ahli akademik
    dan para penyelidik berkongsi dan membincangkan penemuan penyelidikan serta amalan-amalan terbaik mereka dalam semua aspek bagi membina kedayatahanan dalam sistem
    pendidikan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...