Platform jana peluang pekerjaan tempatan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Menerusi kerjasama yang erat merentas kementerian dan agensi-agensi lain, masih terdapat peluang dalam ekonomi walaupun berhadapan dengan cabaran yang dibawa oleh pandemik COVID-19.

Salah satu keutamaan penting semasa tempoh berkenaan ialah penjanaan berterusan peluang-peluang pekerjaan di mana dengan sekatan pergerakan pekerja merentas ekonomi pada masa ini, adalah amat mustahak bagi kita untuk mempersiapkan warga tempatan dan memasukkan mereka ke dalam peluang-peluang pekerjaan yang terdapat dalam pasaran.

Sehubungan dengan itu, dalam usaha untuk meningkatkan pekerjaan tempatan dan menyokong perniagaan, intervensi proaktif dan inovatif adalah amat kritikal, tekan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah dalam ucapannya pada pelancaran Program Penghubung ARMECS yang berlangsung di Dewan Bankuet, Bangunan JPM, hari ini.

Salah satu inisiatif yang diambil, jelas Yang Berhormat Dato adalah proses proaktif pema- danan pekerjaan oleh JobCentre Brunei (JCB). Sejak Januari 2020, lebih 2,400 pekerjaan telah diisi oleh pekerja tempatan menerusi JCB dan sehingga hari ini, masih terdapat lebih 2,000 jawatan masih menanti untuk diisi.

Oleh itu, Yang Berhormat Dato berharap pencari-pencari kerja akan memandang serius pada peluang-pelaung berkenaan dan bagi para majikan untuk menawarkan lebih banyak peluang bagi warga tempatan. Pada masa yang sama, Majlis Perancangan Tenaga Manusia dan Pekerjaan (MPEC) dengan kolaborasi pelbagai kementerian termasuk Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Kementerian Pembangunan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Kementerian Tenaga dan Kementerian Pendidikan, dalam kapasiti mereka sebagai pengawal selia, sedang mengenal pasti pekerjaan yang akan diutamakan hanya untuk warga tempatan.

Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua ketika berucap pada majlis pelancaran program berkenaan.

Dalam hubungan sektor pembinaan, ulasnya, ia menawarkan jumlah pekerjaan luas yang dikenal pasti khususnya di peringkat profesional, profesional bersekutu dan juruteknik, di mana kita boleh bermula untuk membina saluran bakat warga Brunei yang kompeten dan berkemahiran.

Ia juga merupakan sektor yang menyumbang sebanyak $457 juta kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2019 dan dijangka akan terus menjadi sektor utama dalam perjalanan untuk memba- ngunkan ekonomi bagi mencapai Wawasan Brunei 2035.

Seiringan dengan mengenal pasti pekerjaan untuk penyetempatan, MPEC juga bekerjasama rapat dengan pelbagai penyedia latihan dan pendidikan di bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) supaya dapat mempersiapkan warga tempatan untuk memenuhi keperluan industri.

Di samping itu, terdapat tumpuan yang kuat diberikan kepada pembangunan dalam peranan atau latihan sambil bekerja dengan pendedahan kepada suasana pekerjaan sebenar di mana 70 peratus pembelajaran dapat diperoleh.

Oleh itu, Yang Berhormat Dato berkata bahawa program seperti ARMECS adalah satu nilai tambah bagi warga tempatan di mana ia memberikan peluang kepada mereka untuk bekerja dengan profesional dalam bidang yang relevan di mana ia membantu mengembangkan dan mempelbagaikan bakat serta keupayaan mereka.

Ia juga merupakan contoh salah satu program meningkatkan dan pengisian semula kemahiran yang telah dilaksanakan berikutan dengan penggunaan Rangka Kerja Meningkatkan dan Pengisian Semula Kemahiran. Rangka kerja berkenaan dibangunkan untuk menyokong mereka yang ingin mendapatkan kemahiran dan keupayaan baharu serta bagi mereka yang ingin memajukan kompetensi lain di mana hasil daripada rangka kerja itu ialah untuk meningkatkan penglibatan majikan dalam pembangunan program latihan dan pembelajaran berkualiti serta untuk melaksanakan program yang bertauliah dan diiktiraf bukan sahaja secara akademik tetapi juga dari segi kemahiran menerusi Brunei Darussalam National Occupation Skill Standard (BNOSS).