CANBERRA – Sepuluh tahun yang lalu, ketika Julie Nichols bergelut dengan pelbagai cabaran untuk mencari lokasi bagi memasarkan barangan kreatif buatan tangannya di bandaraya Australia ternyata dia berasa sangat terkejut apabila mendapati ia berjaya mendapat perhatian sehingga pengunjung ada kalanya terpaksa beratur panjang di kawasan pintu masuk.
“Kini kami telah memiliki sebanyak 270 premis syarikat perniagaan yang beroperasi di pasar ini dan ia kelihatan terus berjaya mendapat sambutan yang cukup menggalakkan,” jelas penganjur berusia 51 tahun itu.
“Di pasar ini, pelanggan memiliki peluang untuk memberi sokongan itu terhadap barangan buatan tangan dan sejujurnya ia memang merupakan satu perkara yang positif,” jelasnya.
Hujung minggu ini sememangnya menandakan ulang tahun ke sepuluh untuk Pasar Kreatif Canberra.
Lokasi perniagaan yang memiliki sebanyak tiga dewan perniagaan itu kelihatan sentiasa dipenuhi oleh kunjungan orang awam walaupun pada waktu cuaca kurang mengizinkan.


Mereka berpeluang untuk mencari pakaian, buku, anting-anting dan kalung yang sangat mempesonakan di samping aneka jenis makanan yang kelihatan sangat menyelerakan.
Nichols merupakan seorang peniaga yang sentiasa berfikiran terbuka dalam menerima pembaharuan.
Namun jika diimbas sedekad lalu, ketika dia berpindah ke Canberra ternyata dia juga mendapati pasaran di kawasan ini tidak berubah.
“Dari situ, saya mula terfikir bahawa sudah tiba masanya untuk mewujudkan sebuah lokasi khusus bagi memberi peluang kepada pengusaha barangan kreatif untuk mengetengahkan produk mereka,” jelas Nichols.
Pasar barangan kreatif ini mula dibuka pada November 2008 di Dewan Albert di mana ia hanya memiliki 30 buah gerai namun berjaya menarik seramia 2,000 pengunjung.
“Jumlah pengunjung yang berkesempatan untuk mengunjungi pasar ini bagi bulan Disember sahaja adalah seramai 33,000 orang,” jelasnya.
Menurut Canberra Times, Pasar Kreatif ini telah berjaya menarik seramai 120,000 pengunjung sekali gus berjaya menjana keuntungan sebanyak AS$10.7 juta dalam tempoh setahun.
Apabila pasaran semakin berkembang, mereka secara perlahan-lahan telah menukar waktu penganjuran jualan di pasar itu dari satu hari kepada dua hari bagi setiap musim jualannya bagi memberi peluang yang lebih terbuka kepada pengunjung.
Bagi meraikan acara ulang tahun ke-10 penganjurannya pada tahun ini, mereka juga turut merancang untuk menganjurkan acara jualan yang sama pada bulan Disember depan.
Louise Martiansen telah bergiat aktif dalam pembuatan porselin selama enam tahun di studio miliknya, LouiseM Studio di Sydney.
Sekitar tiga tahun lalu dia telah mendapat maklumat mengenai pasar jualan barangan kreatif dari seseorang yang pernah mengunjunginya sebelum ini.
“Ia adalah sebuah pasar yang menarik di mana ramai peniaganya cukup baik hati dan sangat mesra. Setentunya ia adalah berbaloi untuk mengunjungi,” jelas Martiansen, 31 tahun dalam nada sangat berpuas hati walaupun terpaksa mengembara lebih dari 280 kilometer menuju ke Canberra.
Antara peniaga lain yang turut menyertai acara jualan produk kreatif itu adalah And O Design yang diusahakan oleh Ivan Bullock dan Yumi Ando.
Mereka telah berpindah dari Melbourne ke Canberra sejak setahun yang lalu bagi mengetengahkan barang kemas yang memiliki rekaan yang sangat menarik.
“Ini merupakan sebuah bandar yang kecil dan terpencil. Maka setentunya ia merupakan satu peluang yang baik bagi mengetengahkan produk kami di Canberra,” jelas Bullock.
Di samping itu, terdapat juga beberapa peniaga China yang turut mengetengahkan produk mereka seperti Little Wu Jianbing. Menurut Rosy Zhang yang bekerja di gerai menjelaskan bahawa mereka telah mula mengusahakan operasi perniagaan Jianbing atau penkek Cina di Canberra sejak lebih dari setahun yang lalu sekali gus menjadikannya sebagai perintis utama dalam perniagaan itu di bandaraya tersebut.
“Kami percaya bahawa Jianbing memang merupakan salah satu makanan ringan popular di China dan kami berusaha untuk mengetengahkannya di sini. Ternyata ramai juga yang melahirkan minat mereka, bertanyakan mengenai makanan ringan tersebut dan mengambil gambarnya untuk dikongsikan di media sosial,” jelas Zhang.
Ken Zhou berasal dari wilayah Guangdong di China Selatan yang berjaya menjual beberapa produk kreatif di bawah jenama Asian Tiger di Pusat Canberra dalam tempoh empat tahun dan penyertaannya kali ini merupakan kali yang keempat.
“Seorang rakan telah memberi cadangan kepada saya untuk mengetengahkan produk di sini dan ternyata ia berjaya mendapat sambutan menggalakkan apabila 200 biji roti kukus berjaya terjual hanya dalam tempoh masa satu jam,” jelas Ken.
“Pada kebiasaannya, kami berjaya menjual sebanyak 1,000 hingga 1,500 biji pau sehari. Pemasaran di negara ini secara tidak langsung turut membantu kami dalam mempromosikan jenama kami,” tambahnya.
Selepas dia mengetengahkan produknya di negara ini ternyata jumlah pengikut jenama itu di media sosial itu juga semakin meningkat.
“Seringkali kami menerima pertanyaan daripada netizen yang menanyakan keberadaan kami setiap kali berakhirnya jualan ini di media sosial,” jelas Zhou.
“Pasar jualan kreatif ini setentunya merupakan peluang terbaik bagi para peniaga untuk mengetengahkan produk mereka,” jelas Julie Nichols yang memang menaruh harapan yang tinggi terhadap Pasar Canberra itu.
Namun tugasnya untuk menguruskan organisasi itu juga menjadi semakin mencabar terutama apabila beberapa acara tertentu turut dianjurkan di pasar tersebut.
Dengan itu, dia bersama dengan empat orang lagi kakitangannya yang lain terus bersemangat dalam mengatur segala perancangan termasuk dari sudut tempat letak kereta, pengangkutan awam sehingga kuasa penjanaan elektrik.
“Saya tidak akan pernah menyerah kalah. Kami harus sentiasa kreatif bagi memastikan pengunjung sentiasa berasa seronok mengunjungi pasar ini,” jelasnya dalam nada penuh harapan. – Xinhua