Tuesday, April 29, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Platform ketengahkan produk IT

    Oleh Sim Y. H.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Jan – InfoCom Federation Brunei (IFB) terus berusaha untuk mempromosikan platform bagi syarikat IT tempatan memperkenalkan produk serta perkhidmatan teknologi maklumat terkini dan canggih mereka.

    Di samping itu, IFB tidak ketinggalan untuk berganding bahu dengan pihak kerajaan bagi mempromosikan Negara Brunei Darussalam sebagai pusat teknologi sehenti serta menyumbang ke arah menggalakkan orang ramai untuk mendapatkan peralatan atau keperluan IT di dalam negara dan pada masa yang sama meningkatkan kegiatan perniagaan tempatan.

    Sehubungan itu, IFB mengadakan Pesta PC IFB sebagai salah satu kegiatan untuk menggalakkan penyertaan syarikat IT tempatan memperkenalkan produk dan perkhidmatan mereka kepada orang ramai serta menawarkan produk mereka dengan harga-harga yang menarik.

    Perkara itu dinyatakan oleh Pengerusi IFB, Sheikh Haji Abas bin Sheikh Mohamad semasa Perasmian Pesta PC IFB yang berlangsung di Seri Qlap Mall, Kiulap, hari ini.

    Menurut Sheikh Haji Abas lagi, pesta itu merupakan usaha IFB untuk menyediakan peluang bagi syarikat IT tempatan mengetengahkan produk mereka kepada pengguna serta memberikan peluang kepada pengguna mendapatkan produk IT terkini dengan harga istimewa.

    Sheikh Haji Abas bergambar ramai dengan ahli-ahli IFB selepas perasmian Pesta PC IFB yang berlangsung di Seri Qlap Mall, Kiulap.
    Sheikh Haji Abas diberikan penerangan mengenai dengan produk-produk yang ditawarkan semasa Pesta PC IFB yang berlangsung di Seri Qlap Mall, Kiulap.

    Beliau menyatakan bahawa IFB akan terus mengadakan pesta serupa setiap tiga atau empat bulan dengan mengetengahkan tema-tema tertentu seperti produk IT mudah alih atau produk IT pengguna.

    Pesta PC IFB diadakan dengan sokongan daripada Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Brunei (AITI) bersempena acara jualan Brunei Salebration bermula hari ini hingga 21 Januari.

    Acara empat hari itu, disertai oleh lima buah syarikat yang mengetengahkan pelbagai jenis produk komputer peribadi berbagai-bagai jenama termasuk komputer riba, mesin pencetak dan peralatan-peralatan IT lain.

    Pesta PC IFB itu bermatlamat untuk mempromosikan dan menggalakkan lebih banyak syarikat penjual IT untuk menawarkan produk mereka dengan harga istimewa bagi menarik minat pembeli tempatan untuk berbelanja dan mendapatkan produk-produk IT mereka di dalam negara.

    Pada masa yang sama, IFB berharap pihak peniaga akan terus dapat memberikan tawaran hebat, kreatif dan lebih menarik untuk mendapatkan lebih ramai pembeli berbelanja di dalam negara serta untuk meningkatkan jumlah pelancong yang berbelanja di Brunei.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda