Platform luaskan jaringan pasaran dilancar

Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OGOS – Dalam usaha membantu pengusaha dan peladang tempatan meluaskan pasaran dan jaringan perniagaan serta pemadanan perniagaan mereka, platform baharu Program Gerai Hujung Minggu Pasar Kitani dilancarkan hari ini di ruang Concourse, Stadium Negara Hassanal Bolkiah di Berakas.

Program setiap minggu anjuran Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) melalui Jabatan Pertanian dan Agrimakanan dengan kolaborasi bersama Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri itu dilancarkan bersama oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Seramai 43 orang pengusaha dan peladang tempatan terdiri daripada pengusaha tanaman sayur-sayuran, buah-buahan dan ternakan serta produk tambah nilai agrimakanan (makanan proses) menyertai platform program jualan tersebut.

Program Gerai Hujung Minggu Pasar Kitani ini memberikan platform alternatif bagi memasarkan hasil pertanian pengusaha dan peladang tempatan ini antaranya buah-buahan seperti pisang, rambutan, asparagus, salad, mulberi; hasil ternakan seperti telur ayam, telur puyuh, telur itik; kopi Arabika dan banyak lagi, dalam usaha mengukuhkan lagi sektor pertanian di negara ini.

Melalui program ini, ia diharapkan dapat mengembang majukan perniagaan pengusaha dan peladang tempatan, justeru meningkatkan keluaran hasil ladang sehingga mampu menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negara Brunei Darussalam.

Majlis pelancarannya turut dihadiri ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pengiran Haji Ali bin Pengiran Maon, Yang Berhormat Haji Tahamit bin Haji Nudin, Yang Berhormat Haji Mohimin bin Haji Johari @ Jahari, setiausaha tetap-setiausaha tetap; timbalan-timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan serta para pegawai dan kakitangan daripada tiga kementerian berkenaan termasuk jabatan-jabatan di bawahnya.

Program Gerai Hujung Minggu Pasar Kitani itu juga adalah salah satu usaha meningkatkan produktiviti pengusaha dan peladang, membantu mereka membekalkan hasil segar tempatan berkualiti tinggi terus kepada pelanggan selain platform untuk berinteraksi secara langsung dengan orang ramai dan seterusnya mempromosikan hasil dari ladang masing-masing.

Aktiviti jualan program ini juga dapat diakses secara dalam talian melalui aplikasi Ta-Pow iaitu hasil kerjasama pihak Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan bersama sebuah syarikat pembangunan aplikasi tempatan. Sehubungan itu, orang ramai yang tidak berkesempatan untuk mengunjungi tempat jualan bolehlah mendapatkan khidmat penghantaran terus menerusi aplikasi tersebut.

Program setiap Ahad bermula jam 6 hingga 11 pagi ini terbuka kepada pengusaha dan peladang berdaftar di bawah Jabatan Pertanian dan Agrimakanan. Mereka yang ingin menyertainya bolehlah menghubungi urus setia program tersebut.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri ketika menyaksikan produk-produk pertanian yang diketengahkan pada program tersebut.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan dan Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan melancarkan Gerai Hujung Minggu Pasar Kitani.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan dan Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan ketika berkunjung bagi menyaksikan petak jualan Gerai Hujung Minggu Pasar Kitani.