Platform perubahan sosial positif

Oleh James Kon

SEOUL, KOREA, 12 NOV – Bagi menyuntik jiwa para belia untuk terus melakukan aktiviti sukan sebagai platform untuk menyatukan perpaduan masyarakat sekali gus membentuk masa depan yang lebih baik dalam bidang sukan, seramai 70 peserta dari 28 negara dari seluruh Asia Pasifik telah menyertai UNESCO Funshop on Sport and SDGs yang diadakan di Seoul, Korea, baru-baru ini.

Menyertai bagi mewakili Negara Brunei Darussalam ialah Ketua Persatuan Bola Keranjang Brunei, Ruby Ang, di mana beliau bersama peserta dari pelbagai negara telah berkongsi serta bertukar pendapat mengenai bidang kesukanan sebagai satu usaha untuk mempamerkan gaya hidup yang sihat dan positif.

Ruby Ang ketika di temu bual menyatakan bahawa “Sukan mempunyai kuasa untuk memberi inspirasi dan menyatukan masyarakat. Bengkel ini telah menyoroti kebimbangan mengenai matlamat pembangunan mampan dan bagaimana mengadaptasi bidang sukan untuk memberi impak kepada kesedaran kehidupan individu.”

Bengkel tersebut juga jelasnya turut memberikan satu platform untuk membincangkan lebih lanjut mengenai isu-isu global dan memberi idea-ide baharu dalam sama-sama merealisasikan sukan sebagai penyatupadu masyarakat global.

Melalui pertukaran pengalaman dan modul pembinaan kapasiti yang disampaikan oleh fasilitator dalam bengkel tersebut, para peserta telah memperoleh pemahaman yang lebih mendalam tentang peranan yang dapat diadaptasi daripada sukan. Bengkel ini juga menggabungkan semangat keseronokan dalam sukan dengan persekitaran pembelajaran yang intensif.

Semasa bengkel tersebut, para peserta juga diberi peluang untuk menyertai para pemimpin belia UNESCO lainnya dari seluruh Asia Pasifik untuk sama-sama melakukan inisiatif ke arah perubahan sosial yang positif dalam komuniti.

“Bengkel ini memberi pendedahan kepada para peserta mengenai keistimewaan sukan dalam sama-sama mempromosikan hak wanita, menentang ekstremisme, mendidik tentang persekitaran, serta mempromosikan nilai-nilai murni, empati dan keadilan,” jelasnya lagi.

Berikutan kejayaan program ini, Ruby Ang berhasrat untuk menyertai Bengkel Pemimpin Belia, Sukan ASEAN untuk Pembangunan, Keamanan dan Kepimpinan yang diadakan di Bangkok, Thailand bermula 17 hingga 23 November nanti bersama lebih daripada 60 pemimpin muda dari seluruh negara anggota ASEAN dan Norway.

Di sini, menurutnya pada peserta akan belajar bagaimana mengintegrasikan kemahiran hidup ke dalam sukan dan bagaimana untuk melaksanakan projek reka bentuk sendiri untuk membawa perubahan sosial yang positif.

Ruby Ang ketika mewakili Brunei Darussalam bersama peserta dari pelbagai negara ketika menyertai bengkel tersebut.