ULASAN SIRI TV OLEH RUZAINI HAJI DAUD
PERTAMA kali sebuah pertandingan nyanyian berkonsepkan realiti iaitu Big Stage yang menampilkan bakat muda seangkatan generasi alaf baharu.
Seramai 10 bintang yang kini popular dengan jolokan ‘Budak Baru Nak Up’ (BBNU) yang terdiri daripada lima peserta lelaki dan wanita bakal berentap di satu pentas yang sama.
Barisan penyanyi terdiri daripada Ariff Bahran, Afieq Syazwan, Andi Bernadee, Syafiq Farhain dan Tajul.
Manakala peserta wanita pula iaitu Baby Shima, Fara Hezel, Sarah Suhairi, Sissy Imann dan Wani Kayrie.
Program realiti itu memberi kebebasan kepada penyanyi muda yang mempunyai bakat namun tidak berpeluang untuk ke peringkat lebih tinggi.

Menerusi Big Stage, golongan BBNU yang memiliki daya juang tinggi untuk membawa karya mereka yang selama ini cuma dipertontonkan menerusi alam maya dapat diketengahkan ke alam realiti sebenar.
Rangkaian program itu turut menampilkan dua ikon muzik tersohor tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Faizal Tahir yang dilantik sebagai juri tetap untuk musim pertama.
Sementara itu, seorang juri jemputan profesional juga akan diundang khas secara bergilir-gilir pada setiap minggu untuk turut serta mengadili persembahan.
Manakala dua pengacara popular iaitu Alif Satar dan Sherry Al Hadad diberi tanggungjawab untuk mengemudi pentas utama Big Stage.
Juara Big Stage akan memenangi wang tunai RM100,000 beserta trofi sumbangan Astro dan pemenang tempat kedua serta ketiga pula bakal membawa pulang wang RM50,000 dan RM25,000 serta trofi.
Pada minggu lalu, seorang penyanyi lelaki bernama Ariff Bahran telah tersingkir selepas menerima markah rendah yang diberikan berdasarkan kepada persembahan yang ditonjolkan.
Lalu, untuk mengetahui siapakah yang menyerlah dan siapa yang bakal tersingkir pada minggu seterusnya jangan terlepas untuk terus menonton siri rancangan Big Stage yang disiarkan pada setiap hari Ahad jam 9 malam menerusi saluran Astro Ria dan Ria HD.