Thursday, February 13, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Platform tingkat mutu bola sepak

    Oleh Mohamad Asyramisyanie

    Gambar oleh Hasrulraizan

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Mei –Fitness Zone kini menjadi Kelab Kesihatan Rasmi NFABD menerusi penandatanganan dokumen perjanjian kerjasama yang berlangsung di Fitness Zone Kiulap petang ini.

    Menandatangani bagi pihak NFABD ialah Pemangku Timbalan Presiden NFABD, Haji Madli bin Mohd Yussof, sementara Fitness Zone Kiulap diwakili oleh Pengarah Urusan Fitness Zone, Wu Chun.

    Menerusi perjanjian bersejarah itu, Fitness Zone memberikan keahlian selama setahun secara percuma kepada pasukan bola sepak dan futsal kebangsaan termasuk skuad Sukan SEA, yang membolehkan para pemain terlibat menggunakan segala kemudahan, peralatan dan sumber di Fitness Zone pada waktu-waktu yang telah ditetapkan.

    Mereka boleh menggunakannya pada pukul 10 pagi hingga 4 petang dan 8 malam hingga 11 malam pada hari-hari bekerja, sementara pada hujung minggu dari pukul 10 pagi hingga 3 petang dan 7 malam hingga 10 malam, dengan syarat memaklumkan kepada Fitness Zone terlebih dahulu.

    Termasuk dalam perjanjian itu juga adalah Fitness Zone akan menyediakan keahlian korporat kepada NFABD untuk kelab-kelab yang bernaung di bawahnya dan kakitangan NFABD, serta potongan bayaran keahlian untuk pelajar dan remaja di bawah NFABD.

    Sebahagian pemain pasukan kebangsaan bergambar bersama Wu Chun, Haji Madli dan EXCO serta pegawai NFABD.
    Sebahagian pemain pasukan kebangsaan bergambar bersama Wu Chun, Haji Madli dan EXCO serta pegawai NFABD.
    Haji Madli (kiri) dan Wu Chun bertukar-tukar cenderahati selepas menandatangani dokumen perjanjian kerjasama NFABD dengan Fitness Zone.
    Haji Madli (kiri) dan Wu Chun bertukar-tukar cenderahati selepas menandatangani dokumen perjanjian kerjasama NFABD dengan Fitness Zone.

    Haji Madli dalam ucapannya menyatakan NFABD yakin kerjasama itu akan dapat menaikkan lagi populariti sukan bola sepak di negara ini dan boleh menarik minat pemuda-pemuda untuk berlatih bersama para pemain kebangsaan kerana peralatan kecergasan di Fitness Zone sangat bermutu tinggi.

    Beliau menyarankan kepada para pemain supaya mengambil kesempatan tersedia dengan menggunakan kemudahan dan peralatan yang telah disediakan oleh Fitness Zone dengan sebaik-baiknya.

    Haji Madli turut memaklumkan bahawa NFABD akan menganjurkan Klinik Kejurulatihan Futsal di Fitness Zone dalam tempoh setahun ini.

    Wu Chun dalam kenyataannya mengatakan bahawa Fitness Zone mahu pasukan kebangsaan merasa dihargai dan berharap untuk mengongsikan kepakaran mereka untuk mempertingkatkan prestasi pemain. Menurutnya ia selari dengan misi Fitness Zone dalam memberikan sokongan kepada atlet tempatan.

    Kerjasama itu menurutnya merupakan cara terbaik kedua-dua pihak memberikan penekanan betapa pentingnya kekal cergas dan sihat, bukan saja untuk atlet tetapi juga orang ramai umumnya, terutama remaja, majoriti masyarakat yang mengalami obesiti akibat kurang melakukan aktiviti fizikal. Menerusi kerjasama dengan NFABD itu, Wu Chun percaya hasrat menyebarkan budaya kesihatan dan kecergasan ke seluruh Brunei akan dapat dicapai kerana para pemain pasukan kebangsaan akan menjadi duta kecergasan Fitness Zone, sebagai contoh ikutan bagi kalangan remaja.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda