Saturday, April 20, 2024
24 C
Brunei

    -

    Platun Bulan Sabit Merah UNISSA dirasmi

    Oleh Syahmi Hassan & Mu’min Karim

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 SEPT – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) kini mempunyai Platun Bulan Sabit Merah susulan majlis perasmian yang berlangsung di Auditorium, UNISSA, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan perasmiannya ialah Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal.

    Terdahulu, acara dimulakan dengan majlis kenaikan pangkat yang disempurnakan oleh Presiden Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Negara Brunei Darussalam, Pengiran Dato Paduka Haji Mohd Yussoff bin Pengiran Haji Bahar, diikuti dengan bacaan ikrar taat setia oleh ahli-ahli Platun Bulan Sabit Merah UNISSA.

    Pemangku Pengarah Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, UNISSA, Dr Hajah Ummi Faizah binti Haji Abdul Rahman dalam ucapan alu-aluannya selaku pengerusi majlis menjelaskan bahawa UNISSA kini mempunyai 276 orang pelajar terdiri daripada enam pasukan yang terlibat aktif dalam pasukan beruniform.

    Beliau turut mengongsikan faedah daripada mengikuti badan beruniform antaranya menyemai nilai-nilai murni, memupuk sikap patriotik dan sifat kepimpinan di samping membentuk sahsiah dan disiplin pelajar.

    Dr Haji Norarfan semasa menyaksikan pameran pada majlis itu.
    Ahli platun berikrar taat setia pada majlis perasmian Platun Bulan Sabit Merah UNISSA di Auditorium UNISSA, kelmarin.

    “Penglibatan aktif pelajar UNISSA dalam aktiviti kokurikulum adalah selaras dengan visi Kementerian Pendidikan iaitu melengkapkan pelajar dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran abad ke-21 untuk menjadi generasi future ready,” tambah beliau.

    Beliau turut menekankan bahawa penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum bukan menjadi penghalang untuk membantutkan prestasi mereka, bahkan melalui penglibatan tersebut mereka perlu bijak membahagi masa dan komited dalam tugasan akademik.

    Tetamu kehormat kemudiannya menyampaikan ucapan perasmian sebagai tanda pelancaran Platun Bulan Sabit Merah UNISSA.

    Majlis turut menyaksikan penyampaian Sijil Keahlian dan Sijil Kecekapan Pertolongan Cemas kepada ahli-ahli Platun Bulan Sabit Merah UNISSA oleh rektor UNISSA.

    Turut disampaikan ialah Anugerah Hadiah Buku Bulan Sabit Merah bersama wang tunai $500 kepada Dayang Nazifa Nabila binti Drs Haji Ismuhadi yang merupakan Sukarelawan COVID-19 PBSM Negara Brunei Darussalam dan Ahli Platun Bulan Sabit Merah UNISSA dengan mendapat kepujian Kelas Pertama, Sarjana Muda Tahfiz dan Qiraat bagi sesi akademik 2022

    Beliau juga merupakan penerima Biasiswa Kementerian Hal Ehwal Ugama Sesi 2019-2020 dan penerima Anugerah Dekan Semester 1 & 2 sesi pengajian 2018-2019, 2020-2021: Semester 1, Sesi 2021-2022, menerima Hadiah Buku Sesi Pengajian 2018-2019.

    Anugerah tersebut disampaikan oleh Presiden PBSM Negara Brunei Darussalam.

    Anugerah Hadiah Buku Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam diwujudkan sebagai pengiktirafan kepada mahasiswa institusi pengajian tinggi dan universiti yang menjadi ahli berdaftar kepada PBSM Negara Brunei Darussalam dan aktif dalam pergerakan kemanusiaan menerusi Platun Kadet Bulan Sabit Merah di institusi pengajian tinggi dan universiti mereka.

    Ia juga mengiktiraf mahasiswa yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam akademik dan kokurikulum di institusi pengajian tinggi dan universiti masing-masing; dan mahasiswa yang telah menerima pingat dan hadiah buku daripada institusi pengajian tinggi dan universiti dalam dan luar negara.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...