PlayStation 5 Sony dilancar November

SAN FRANCISCO, 17 SEPT – PlayStation 5 (PS5) Sony yang dinanti-nantikan ‘penggemar permainan video’ akan dilancarkan pada November ini.

Ia sekali gus dijangka memberi saingan kepada konsol Xbox sebagai permainan video yang berkembang pesat ketika tempoh penularan pandemik COVID-19.

Ketua Sony Interactive Entertainment, Jim Ryan berkata, PS5 baharu ini ditawarkan dalam dua versi dan akan dilancarkan pada 12 November di Australia, Amerika Utara, New Zealand, Mexico, Jepun, Korea Selatan serta ke seluruh dunia seminggu kemudian.

Katanya, harga premium PS5 adalah AS$500, sementara ‘edisi digital’ yang direka untuk trend permainan yang dimuat turun dari ‘cloud’ berharga AS$400.

“Dengan PS5, kami membuat lonjakan signifikan bagi memberikan pengalaman permainan sebenar transformasi generasi baharu yang akan menentukan semula jangkaan permainan yang akan dicetuskan kelak,” katanya, semalam.

Sony hanya mendedahkan sedikit konsol PS5 dan memberikan pandangan sekilas dengan sebahagiannya tidak ditunjukkan.

Model PS5 sepenuhnya mempunyai slot untuk pemacu permainan atau video, sementara model digital tiada ciri itu kerana boleh dimuat turun melalui internet atau dimainkan menerusi capaian cloud.

“Sejak pertama kali mengumumkan konsol generasi berikutnya tahun lalu, kami mendapat sokongan luar biasa dari syarikat pembangun dan peminat permainan di seluruh dunia, ia sangat mengujakan.

“Kami tidak sabar untuk peminat merasakan sendiri kepantasan luar biasa, ‘immersion’ lebih tinggi dan permainan yang menakjubkan di PS5 ketika kami melancarkan pada November ini,” katanya. – AFP

Gambar fail menunjukkan orang awam berdiri bersebelahan petak PlayStation di Ekspo Hiburan Elektronik E3 ke-24 di Pusat Konvensyen Los Angeles. – AP