SAN FRANCISCO, 2 OKT – Sony Interactive Entertainment hari ini mengurangkan harga perkhidmatan permainan video cloud PlayStation Now tatkala ia menanti Google melancarkan Stadia pada November.
Harga langganan PlayStation kini dikurangkan separuh di Amerika Syarikat (AS) kepada AS$10 sebulan, kos yang sama dengan langganan Stadia Pro dengan ‘edisi pengasas’ perkhidmatan permainan video streaming Google baharu.
Sony di Jepun juga menambah koleksi permainan yang boleh diakses oleh PlayStation Now menerusi konsolnya atau komputer peribadi yang menggunakan perisian Windows.
“Kami telah mengumpul pelbagai pengetahuan dalam permainan cloud sejak pelancaran PlayStaion Now pada 2014,” kata ketua eksekutif Sony Interactive Entertainment Jim Ryan dalam satu kenyataan.
“Itu, ditambah oleh warisan 25 tahun kami dalam perniagaan permainan dan perkongsian yang kukuh yang kami jalin dengan penerbit, memberikan kami kedudukan mantap untuk terus memimpin dan membuat pembaharuan dalam bidang ini apabila industri permainan berevolusi.” – AFP



































