PM, 34 pegawai masuk pejabat hari ini

PUTRAJAYA, 3 JUN – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kesemua 34 pegawai kerajaan yang menghadiri mesyuarat pasca-Kabinet yang sebelum ini dikenakan kuarantin 14 hari di rumah, sudah dibenarkan memulakan tugas di pejabat, esok.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kesemua mereka menamatkan tempoh kuarantin yang bermula 21 Mei lalu susulan seorang pegawai didapati positif COVID-19.

“Ujian calitan dijalankan terhadap kesemua mereka dan didapati negatif. Oleh itu, esok, mereka boleh memulakan semula tugas di pejabat,” katanya pada sidang media harian COVID-19 di sini, hari ini.

Beliau berkata keadaan pegawai yang sebelum ini didapati positif, sudah semakin baik dan ujian calitan mendapati ia negatif.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata inisiatif negeri Sabah yang membenarkan rakyat Malaysia yang disaring negatif pulang ke Sabah untuk bekerja tanpa kuarantin 14 hari boleh diguna pakai.

Jelasnya, jika saringan boleh dilaksanakan dalam tempoh tiga hari maka proses kuarantin boleh dikecualikan jika keputusan negatif.

“Ia mungkin satu inisiatif yang boleh diguna pakai. Kita (Kementerian Kesihatan) pun sedang merancang sama ada boleh guna pakai bukan sahaja bagi mereka yang ingin pulang ke Sabah dan Sarawak tetapi untuk negara bagi mereka yang kembali atau ingin datang ke Malaysia,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata mereka yang ingin memasuki pintu negara perlu menjalani saringan terlebih dahulu di negara masing-masing. – Bernama