PM Armenia diuji positif COVID-19

YEREVAN, 1 JUN – Perdana Menteri Armenia Nikol Pashinyan dan keluarganya telah diuji positif dijangkiti koronavirus, kata beliau hari ini, tatkala kadar jangkitan baharu meningkat di negara Caucasus itu.

“Ujian koronavirus saya adalah positif semalam,” kata Pashinyan dalam mesej video yang dirakam sendiri di Facebook, menambah keluarganya juga dijangkiti.

Beliau berkata tidak mempunyai ‘gejala ketara’ dan akan bekerja dari rumah. Perdana menteri dan isteri Anna Hakobyan, seorang wartawan, mempunyai empat orang anak.

Republik bekas Soviet dengan kira-kira tiga juta penduduk setakat ini melaporkan 9,492 kes koronavirus dan 139 kematian. Pengumuman Pashinyan keluar hampir sebulan selepas Armenia pada 4 Mei membatalkan perintah darurat yang dikenakan pada Mac untuk membendung penularan koronavirus.

Perdana menteri mengakui kerajaan telah gagal menguatkuasakan langkah anti-virus dan terdapat pencabulan kuarantin yang meluas. – AFP

Gambar fail menunjukkan Perdana Menteri Armenia Nikol Pashinyan membuang undi semasa pilihan raya parlimen awal di Yerevan. – AFP