CANBERRA, 22 Okt – Perdana Menteri Australia Scott Morrison hari ini mengeluarkan pernyataan maaf negara kepada beribu-ribu mangsa penganiayaan seks institusi sekali gus mengakui kerajaan telah gagal menghalang jenayah ‘jahat dan tersembunyi’ yang dilakukan selama berdekad-dekad.
“Ini telah dilakukan oleh warga Australia kepada warga Australia, musuh yang bersama-sama kita,” Morrison berkata dalam ucapan penuh emosi kepada parlimen untuk menyatakan permohonan maaf kepada 15,000 orang mangsa yang terselamat daripada penganiayaan kanak-kanak.
“Sebagai sebuah negara, kami telah mengecewakan mereka, kami tidak menghiraukan mereka dan ia akan sentiasa menjadi keaiban kami,” ujarnya, dalam menceritakan semula tentang penganiayaan yang telah didedahkan oleh siasatan kerajaan sebagai endemik sebenar di sekolah-sekolah, gereja, rumah anak yatim, kelab-kelab sukan dan institusi lain di seluruh negara selama beberapa dekad.
Suara Morrison menjadi serak dan beransur-ansur hilang ketika beliau menceritakan tentang sejarah eksploitasi, penutupan dan kegagalan kerajaan. Beliau mengisytiharkan fahaman negara baharu dalam menghadapi cabaran akan datang: “Kami percaya dengan anda.”
Pernyataan maaf kerajaan dibuat selepas Suruhanjaya Diraja mendedahkan butiran lanjut mengenai dakwaan penganiayaan seks kanak-kanak yang mengganggu perasaan melibatkan institusi yang dipercayai.
“Hari ini kami menyatakan permohonan maaf, kepada kanak-kanak yang kami kecewakan, Maaf. Kepada para ibu bapa yang kepercayaan mereka telah dikhianati dan yang dalam kepayahan memulihkan semangat. Maaf kepada pemberi maklumat yang kami tidak menghiraukannya. Maaf.” Kata Morrison. “Kepada pasangan suami isteri, kanak-kanak yang telah berdepan dengan kesan daripada penganiayaan, penutupan dan halangan. Maaf, kepada generasi-generasi lalu dan hari ini. Maaf.”
Di parlimen, para ahli undangan berdiri untuk bertafakur selepas kenyataan itu, ketika beratus-ratus orang mangsa yang terselamat melihat peristiwa rasmi di seluruh negara.
Di luar dewan parlimen, anggota keluarga mangsa yang telah meninggal dunia mengenakan tag yang tercatat nama anak-anak perempuan, lelaki, adik-beradik perempuan dan lelaki mereka, yang mana permohonan maaf lewat itu adalah ditujukan untuk mereka. – AFP
