PM Australia pendekkan cuti selepas dikecam

SYDNEY, 20 DIS – Perdana Menteri Australia, Scott Morrison memendekkan cutinya di Hawaii dan membuat permohonan maaf terbuka atas kematian dua anggota bomba ketika membantu memadamkan api di New South Wales.

“Saya menyesal dengan sebarang kesalahan terhadap mana-mana rakyat Australia yang terjejas oleh kebakaran hutan yang dahsyat ketika saya dan keluarga sedang bercuti,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Tindakan itu selepas dia dikecam pelbagai pihak termasuk warganet yang mewujudkan tanda pagar khas #WhereIsScomo.

Geoffrey Keaton, 32, dan Andrew O’Dwyer, 36, meninggal dunia semalam apabila sebatang pokok menghempap jentera bomba yang dinaiki mereka dan turut mencederakan tiga lagi anggota lain.

Ketiadaan Morrison ketika negara berhadapan tragedi itu mencetuskan protes jalanan dan kemarahan rakyat Australia di media sosial. – AFP

Anggota bomba melindungi harta benda di sepanjang lebuh raya berhampiran bandar Tahmoor, New South Wales kelmarin. Dua orang anggota bomba maut dalam kebakaran yang memburuk ketika perdana menteri Australia dikritik kerana bercuti ketika tragedi berlaku. – AP