PM Australia tekad lockdown semula

CANBERRA, AUSTRALIA, 8 JULAI – Perdana Menteri Australia berkata bahawa perintah lockdown di bandar kedua terbesar di negara itu adalah perlu dan berjanji akan terus memberi sokongan kewangan untuk perniagaan yang terjejas akibat perintah lockdown kedua ini.

Kerajaan negeri Victoria berkata Melbourne dan sebahagian kawasan sekitarnya akan ditutup selama enam minggu mulai malam ini selepas kadar jangkitan di negeri itu semakin membimbangkan.

Perdana Menteri Scott Morrison berkata bahawa atas nasihat perubatan kerajaan persekutuan, kerajaan Victoria bersetuju bahawa langkah itu adalah perlu.

“Saya harap sekatan ini tidak lama dan cuma mengambil tempoh yang pendek sahaja,” tambahnya.

Morrison berkata tujuh negeri dan wilayah Australia akan terus melonggarkan sekatan pandemik.

Polis di bandar sempadan New South Wales (NSW) Albury memeriksa kereta yang melintasi sempadan negeri dari Victoria kelmarin selepas pihak berkuasa menutup sempadan akibat wabak koronavirus di Victoria. – AFP

Pihak berkuasa Victoria telah mengumumkan 134 kes lagi dalam tempoh 24 jam terakhir.

Pelanggaran peraturan oleh sebilangan pelancong di hotel Melbourne yang diminta untuk mengasingkan diri selama 14 hari telah dipersalahkan menyebabkan lebih banyak penularan jangkitan baharu.

Kerajaan negeri minggu lalu bertindak balas dengan melarang kedatangan baharu di Lapangan Terbang Melbourne selama dua minggu.

Sementara itu, para penduduk di bandar itu pula sibuk membeli keperluan barangan harian di pusat-pusat membeli-belah untuk persiapan mereka dengan perintah sekatan kedua ini. Lima juta penduduk diarahkan kembali melakukan perintah berkurung selama enam minggu.

Rangkaian pasar raya terbesar di negara itu, Woolworths, mengatakan pihaknya telah menetapkan semula had pembelian barang termasuk pasta, sayur-sayuran dan gula setelah pembeli bergegas ke kedai di seluruh negeri Victoria. – AFP