RIO DE JANEIRO, 13 MAC – Presiden Brazil Jair Bolsonaro berkata kelmarin bahawa beliau akan mengetahui ‘dalam tempoh beberapa jam’ sama ada beliau dijangkiti koronavirus atau tidak, selepas pembantu tertingginya diuji positif menghidap penyakit tersebut selepas melakukan perjalanan di mana kedua-duanya bertemu dengan presiden AS, Donald Trump.
Presiden Bolsonaro, 64, memberitahu perkara itu menerusi siaran langsung melalui Facebook di mana beliau telah memakai penutup mulut semasa membuat pengumuman.
“Saya memakai penutup mulut kerana apabila kami pulang dari perjalanan kami ke Amerika Syarikat, salah seorang daripada mereka yang ikut serta telah melakukan ujian di Sao Paulo dan keputusannya adalah positif,” kata Bolsonaro.
Ketua komunikasi pemimpin sayap kanan, Fabio Wajngarten, disahkan positif dijangkiti COVID-19 selepas perjalanan ke AS hujung minggu lalu semasa kedua-duanya bertemu dengan Trump di resort beliau di Florida.
Wajngarten dilihat melalui gambar berdiri di sisi Trump.
“Hari ini kami telah mengambil sampel dan dalam beberapa jam kami akan tahu keputusannya,” Bolsonaro berkata. – AFP
