PM Britain dijangka ulangi amaran

LONDON, 14 Jan – Perdana Menteri Theresa May hari ini dijangka akan mengulangi amaran seperti hujung minggu lalu kepada para ahli Parlimen yang bersedia untuk menolak perjanjian keluar dari Kesatuan Eropah (EU) bahawa gagal melaksanakan Brexit akan membawa ‘bencana’ bagi demokrasi Britain.

Sebelum pengundian bersejarah esok di parlimen berhubung perjanjian pengundurannya yang ditempa dari rundingan menjerihkan selama 18 bulan dengan pemimpin-pemimpin Eropah, May dijangka berucap kepada pekerja-pekerja kilang di Stoke, sebuah bandar di tengah England yang menyokong Brexit.

May yang dijangka tewas secara meluas dalam pengundian House of Commons dengan margin yang luas, akan membuat usaha terakhir untuk meraih sokongan dengan mengatakan “Kita semua mempunyai tugas untuk melaksanakan hasil referendum.

“Saya meminta para ahli parlimen menimbangkan kesan daripada tindakan mereka tentang nasib rakyat Britain dalam demokrasi kita,” May dijangka akan menyatakan begitu, menurut petikan ucapan beliau yang dikeluarkan oleh pejabat beliau.

“Bagaimana jika kita berdepan situasi yang mana parlimen cuba membawa United Kingdom (UK) keluar dari EU dalam menentang pengundian?” beliau akan mengajukan pertanyaan.

“Nasib rakyat dalam proses demokrasi dan ahli politik mereka akan terjejas daripada kesan bencana.”

Britain dijangka meninggalkan EU pada 29 Mac tetapi dengan berbaki 11 minggu lagi, ia belum lagi memuktamadkan syarat pengundurannya.

Perjanjian May menyetujui tempoh peralihan 21 bulan di bawah syarat masa kini sementara hubungan akan datang dengan blok itu dirundingkan, namun telah mendapat tentangan keras daripada penyokong dan penentang Brexit. – AFP