PM Britain diuji positif COVID-19

LONDON, 27 MAC – Perdana Menteri Britain, Boris Johnson mengumumkan hari ini bahawa beliau menjalani pengasingan diri selepas diuji positif dijangkiti COVID-19.

“Dalam tempoh 24 jam lalu, saya mengalami gejala ringan dan diuji positif dijangkiti koronavirus,” beliau berkata menerusi Twitter, memuat naik sebuah pesanan video.

“Saya sedang menjalankan pengasingan diri, tetapi saya akan mengetuai tindak balas kerajaan melalui persidangan video tatkala kita melawan virus ini,” tulis beliau.

“Tidak diragui saya masih boleh meneruskan kerja disebabkan teknologi moden untuk berkomunikasi dengan semua pegawai teratas saya untuk memimpin negara melawan koronavirus,” tambah beliau menerusi pesanan video.

Jurucakap Downing Street berkata dalam satu kenyataan bahawa Johnson, yang mana pasangannya Carrie Symonds sedang mengandung, mengalami gejala ringan kelmarin dan menjalani ujian COVID-19 selepas menerima nasihat daripada ketua pegawai perubatan England.

Ujian tersebut telah dijalankan di No. 10 oleh kakitangan NHS, tambah jurucakap.

Menerusi pesanan videonya, Johnson berterima kasih kepada kakitangan Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) atas usaha mereka memerangi penularan virus.

Secara keseluruhannya, 11,658 kes koronavirus telah disahkan di Britain dengan 578 kematian.

Awal minggu ini, Putera Charles, anak sulung dan pewaris takhta kepada Ratu Elizabeth II, turut diuji positif dijangkiti virus. – AFP

PM Britain telah disahkan dijangkiti COVID-19 dan akan menjalankan pengasingan diri, menurut pengumuman yang dibuat menerusi akuan Twitter miliknya. – AP